✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

HAK KEPADA KEDUA IBU BAPA



Alhamdulillah saya selamat sampai di Melaka pada pagi Selasa setelah tiga hari bermusafir di Terengganu. Badan yang keletihan sepanjang perjalanan selama beberapa jam di dalam bas tidak sempat lagi untuk direhatkan. Sebaik tiba di rumah, lantas saya terus tunaikan solat fardhu Subuh dan diikiuti bacaan mathurat yang telah menjadi runti harian. Usai saja berdoa, saya terus ke dapur untuk meringankan kerja emak yang dari tadi asyik menyiapkan sarapan pagi untuk kami.

“Uda, mari duk sini. Ada rancangan agama kat tv 9 ni.”

Lembut suara emak memanggil nama saya. Segera saya datang kepadanya. Ohh rancangan “Tanyalah Ustaz” di tv 9 rupanya. Tertarik saya pada tajuk yang dibincangkan pada pagi itu, “ TAAT KEPADA IBU BAPA”. Patut beria benar emak memanggil saya. Sudah pasti ilmu yang disampaikan cukup penuh manfaatnya. Saya duduk di atas sofa dan terus mengambil alat kawalan jauh televisyen jenama Panasonic. Butang volume terus saya tekan untuk menambah ketinggian suara televisyen tersebut.

Ustaz Badli Shah. Tidak asing lagi nama ustaz ini yang cukup menarik perbahasan ilmu yang disampaikannya. Raut wajahnya pula saling tidak tumpah seperti ustaz di sekolah lama saya, Ustaz Jamil. Rupanya mereka berdua kawan rapat semasa di zaman belajar dahulu. Kali ini ustaz Badli membahas kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa) karangan Abul-Laits Assamarqandi berkaitan hak kepada ibu bapa. Perbahasan yang sungguh menarik, ringkas dan mudah difahami.

BEBERAPA HAK KEPADA IBU BAPA


Antara panduan yang digariskan oleh Abul-Laits Assamarqandi berkaitan taat kepada ibu bapa dan beliau membahagikan kepada 10 point utama:

1. Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan
2. Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat yang berbunyi: "Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): "Bantulah kedua orang tua didunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.
3. Jika berhajat bantuan harus dibantu
4. Menyambut panggilannya
5. Mentaati semua perintahnya asalakan tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (mengasari orang)
6. Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan
7. Tidak boleh memanggil nama gelaranya
8. Jika berjalan harus dibelakangnya
9. Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri
10. Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya

Setiap isi yang disampaikan oleh Ustaz Bad disertai dengan syarah melalui Al quran, hadis-hadis dan juga beberapa kisah tauladan. Tersentuh hati saya mendengarnya. Tanpa disedari rupanya saya diapit antara emak dan ayah saya. Sempat saya berpaling kepada mereka, kelihatanya mereka saling mengaggukkan kepala tanda bersetuju. Sayu saya melihat keduanya. Pasti mereka menyimpan hasrat tinggi bagi mengharapkan untuk mendapat anak yang soleh hasil didikan mereka. Yang mana ia sudah tentu menjadi bekalan di akhirat kelak apabila nyawa terpisah dari jasad.

“Ya Allah jadikanlah aku dan seluruh adik beradikku anak yang soleh dan solehah.”

Sempat saya berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kami adik beradik menjadi anak yang soleh, permata berharga buat kedua ibu bapa kami.

BAKTI KEPADA IBU BAPA YANG SUDAH TIADA?

Kemudian, seorang penontan bertanya kepada Ustaz Bad, bagaimana untuk berbakti kepada ibu bapa yang sudah tiada, yang sudah kembali bertemu Allah.

Sebelum sempat Ustaz Bad menjawab, saya terlebih dahulu menjawabnya di dalam hati Teringat saya pelajaran Pendidikan Syariah Islamiyah(PSI) di sekolah menengah dahulu ada membincangkan tajuk ini.

1. Berdoa memohon keampunan buat mereka
2. Menunaikan amanah yang ditinggalkan
3. Melangsaikan hutang piutang sekiranya ada
4. Menghubungkan silaturrahim dengan orang yang dicintainya
5. Memuliakan sahabatnya

Sebuah hadis riwayat Abu Dawud menyatakan: ``Seorang lelaki dari Bani Salamah datang bertanya Nabi s.a.w: Apakah masih ada jalan untuk aku berbakti kepada ibu bapaku yang telah meninggal dunia. Sabda Nabi: Engkau boleh berbakti kepada mereka dengan berdoa, memohon keampunan dosa, menunaikan amanah yang mereka tinggalkan, menghubungi sanak saudara dan memuliakan kawan-kawan rapatnya.

ABAH SAYA


Abah bersama kembarnya. abah berkopiah putih.

Alhamdulillah hari ini Allah masih memberi saya merasai nikmat kasih dan sayang daripada emak dan abah. Nikmat berusrah dan nikmat belaian dari keduanya. Sungguh kasih sayang dan pengorbanan mereka tidak mampu saya membalasnya. Teringat pula pada abah, insan yang tidak pernah merasai nikmat kasih sayang dari seorang ayah. Allahyarham datuk telah kembali ke rahmatullah sejak abah dalam kandungan lagi. Beliau karam di tengah lautan sehinggakan jasadnya tidak ditemui. Manakala nenek pula meninggal ketika abah baru 40 hari melihat dunia. Dikala itu abah masih tidak memahami erti dunia ini. Sudah pasti abah tidak sempat memanggil “ EMAK“ kepada nenek. Abah senasib dengan kembarnya, iaitu pakcik saya. Kemudian abah dan kembarnya dijaga oleh nenek saudaranya secara berasingan. Bagaimanalah abah disaat itu, disaat orang lain mempunyai emak dan ayah untuk bermanja, sedangkan abah tidak. Tapi hari ini, abah telah menjadi hero kepada kami sekeluarga. Saya sayang abah.

”Abah rindu tak nak panggil emak“ saya bertanya.

"Pastilah rindu“ jawab abah ringkas.

RENUNGAN

Konklusiya, selagi mana kita masih mempunyai kedua ibu bapa di dunia ini, hargai mereka sepenuhnya. Wajiblah ke atas kita memberi ketaatan kepada mereka selagi tidak melanggar syara’. Hormati dan jagalah hati keduanya. Mudah-mudahan kita menjadi anak yang soleh, impian kedua ibu bapa kita. Ingatlah, keredhaan Allah terletak di atas keredhaan kedua ibu bapa.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Ali dari ayahnya dari neneknya berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Andaikan ada kalimah yang lebih ringan dari kata UF (Cish) untuk dijadikan dasar serendah-rendahnya derhaka pada orang tua nescaya akan dilarang oleh Allah s.w.t. untuk mengatakannya, kerana itu seorang yang derhaka pada orang tuanya boleh berbuat apa yang diperbuat maka ia tidak akan masuk syurga, sebaliknya seorang yang bakti pada orang tuanya boleh berbuat apa saja maka tidak akan masuk neraka."

Jagalah tutur kata ketika bercakap dengan mereka. Jangan sesekali meninggikan suara kepada mereka. Eloklah ke atas anak itu bercakap dengan selembut-lembutnya di hadapan ibu dan bapa kita.

Saya berdoa, moga cuti kali ini saya dapat manfaatkan sebaiknya untuk berbakti kepada emak dan abah. Moga perjalanan cuti ini mendapat keredhaan Allah.

Saya tutup entri saya pada kali ini dengan meninggalkan 2 potong ayat suci AL Quran dari surah Al Isra ayat 23 dan 24 beserta kisah Al Qomah seorang pemuda yang taat kepada Allah. Hayati dan tadabbur ayat suci kalamullah dan juga kisah yang penuh tauladan ini.

Siiru ala barakatillah.

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...