✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

UJIAN ADALAH TARBIYAH

“ Apa yang akak letak belakang saya tu?” Dia bertanya.
“ Ni ultra sound dik, untuk hilangkan rasa sakit awak.” Seorang kakak dari unit fisioterapi memberi sedikit penerangan.

Kemudian satu mesin yang dipenuhi dengan wayar diletakkan di bahagian belakangnya. Sebaik suiz dihidupkan terasa seluruh urat-uratnya ditarik-tarik dan diikuti pula rasa suam yang semakin tinggi suhunya. Dia dibiarkan selama 20 minit di dalam bilik tersebut.

Dia tidak pernah menyangka alat-alat yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini menjadi sebahagian daripada hidupnya. Alat bantuan ini adalah untuk membaik pulih tulang dan sarafnya akibat daripada kesan jatuh beberapa tahun yang lepas. Pada minggu yang berikutnya, pemeriksaan yang sama akan dilakukan ke atas dirinya. Inilah tarbiyah dari Allah, diujinya melalui sakit-sakit yang agak membimbangkan. “Ya Allah, Kau sahaja yang mengetahui segala apa yang berlaku.” Dia berdoa pada yang Esa.

Sebaik pulang dari hospital, dia menggagahkan kakinya untuk melangkah ke kelas. Kesan daripada alat mesin tadi membuatkan dia kurang kudrat untuk berjalan dan duduk. Rasa ingin direbahkan saja badannya di atas katil. Akhirnya dia menitiskan air mata menahan kesakitan yang ditanggungnya itu.

BIAR FIZIKAL SAKIT, JIWA TETAP KUAT

“ Akak doakan ana, rasa nak demam dua tiga hari ni. Tapi akak lagi hebat ujiannya dari ana. Minggu ni pulak ada tiga exam berlainan madah. Ya Allah berilah aku kekuatan.” Masej keluhan dari seorang adik diterimanya.

“Esok akak pun ada exam, lusa pun ada exam jugak. Biar fizikal sakit, jiwa kuat k. I’adah quran elok-elok.” Dia membalas masej yang diterimanya tadi.

“Masya-Allah…kata-kata akak buat ana bertambah semangat. Terima kasih kak. Akak memang seorang yang kuat.”

“Haza min fadli Rabbi..” jawabnya ringkas.

Namun, hanya Allah sahaja yang mengetahui kekuatan dan kemampuan dirinya. Bukanlah semudah yang dilafazkan. Amanah yang dipikulnya lebih besar dari sakit yang dialaminya. Rasa sakit itu dibuangnya jauh-jauh untuk kembali kuat daripada sebelumnya. Agar terlaksana seluruh taklifat yang diamanahkan ke atas dirinya.

Potongan ayat terakhir dari surah al Baqarah diamatinya penuh kesungguhan. Allah berfirman:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

Maka, tiada apa yang perlu dibimbanginya kerana Allah telah berjanji dalam firmannya. Dan dia sangat yakin bahawa segala apa yang ddilaluinya adalah mengikut kemampuan yang telah Allah tetapkan kepadanya. Masakan Allah sengaja mahu mengujinya sedangkan dia tidak mampu memikulnya. Subhanaalah percaturan Allah sangat hebat.

Kerdil rasa dirinya taktala dia mengingat kembali sejarah-sejarah perjuangan tokoh-tokoh Islam yang terdahulu daripadanya. Al Fateh, Salahuddin Al Ayubi, Umar Abd Aziz, zaman khulafa rasyidin dan seterusnya sirah junjungan besar Muhammad SAW. “ Mereka lebih hebat diuji oleh Allah berbanding aku. Mereka hebat disisi Allah, sedangkan bagaimana pula aku.” Dia bermanolog sendirian.

BELAJAR DARI SIRAH

Sirah inilah yang menjadi ibrah pada diri kita. Lantaran ujian yang melanda adalah sangat kecil yang diumpamakan ibarat setitis air di lautan berbanding tarbiyah yang dilalui oleh pejuang-pejuang Islam yang lain.

Apa yang telah aku sumbang pada Islam?
Apa yang telah aku korbankan untuk Islam?
Apa yang telah aku lakukan untuk agamaku?

Ajukan persoalan ini pada diri kita. Apakah kita telah pun laksanakan sealanya dengan sempurna? Dimanakah kita berada taktala sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita di Palestin sedang berlemuran darah menentang musuh-musuh Allah. Tetapi kita? Duduk dan melihat sahaja. Lalu, taktala diuji, barulah kita kembali kepada mengingati Allah. Menginsafi segalanya.

Sirah perjuangan nabi dan sahabat-sahabat baginda terlalu banyak untuk kita jadikan ibrah. Kenang kembali di saat berlakunya peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Bagaimana jerih perih baginda dalam menegakkan Islam dan menyebarkan dakwahnya kepada umat ketika itu. Lalu, nisbahkan pula ujiannya kepada diri kita. Berapa banyak gandaan yang boleh kita hitung berbanding di zaman nabi suatu ketika dahulu.

Ayuh pejuang, jangan kerana ujian yang sedikit kita berputus asa, lemah dan kecewa. Mari kita hayati firman Allah dalam surah Al Imran ayat 139:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.


Saya akhiri entri saya kali ini dengan kata-kata dari Dr. Aidh Abdullah al Qarni dalam bukunya La Tahzan yang menyebut:

“ Jangan bersusah hati sebab ia hanya akan membuatmu lemah dalam beribadah, malas untuk berjihad dan mengheretmu untuk berburuk sangka. Jangan berdukacita, sebab rasa sedih dan susah hati ialah akar kepada pelbagai penyakit jiwa, punca penyakit saraf, penghancur jiwa dan penyebar keraguan serta kebingungan.”

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...