✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

ANTARA SYADID DAN MAHABBAH: HIKMAH YANG DILUPAKAN

Post kali ini saya pinjam dari adik saya, timbalan unit informasi dan kefahaman islam, LADAR untuk perkongsian pembaca sekalian. Asalnya artikel ini ditampal di softboard Ladar untuk sesi akhir sebelum beralih tampuk pimpinan PERKEMAT yang akan datang.. Hebat juga adik dalam menulis. Nice! Selamat membaca.


“Ana tak setuju buat pendekatan syadid. Kenapa mesti syadid sedangkan ini program usrah. Perlu kepada pendekatan mahabbah, kasih sayang dan ukhuwah”

Suara ustaz meninggi. Pendapatnya dipertahan hebat. Syadid bukan satu pilihan, merupakan ketidakwajaran yang perlu dibuang daripada apa sahaja program. Syadid menambahkan kebencian, mengurangkan kasih sayang.

“Baiklah ustaz. Kita guna pendekatan mahabbah untuk QUDWAH kali ini.”

Kata putus diambil setelah pelbagai faktor dibahaskan. Mahabbah, ukhuwah. Pendekatan yang dipilih untuk menyentuh hati anak-anak. Dengan harapan, institusi usrah akan dapat diperkasakan, dan program-program PERKEMAT bercorak sama dapat diubah paradigma bahawa ianya berbentuk syadid, tidak kena cara, tak berhikmah dan sebagainya.

****

Hari pertama, kehadiran anak-anak samada banin mahupun banat tidak penuh. Tempat duduk banin di Auditorium Sheikh Mohd Noor itu ketara kosongnya. Pelbagai respon yang diterima apabila soalan ‘di mana adik-beradik yang lain’ diajukan. Sakit, outing dan memang tidak mahu hadir menambah haru ‘hati’ yang mencuka. Program diteruskan dengan harapan kehadiran akan terus bertambah. Tiada paksaan, cuma harapan. Tiada jeritan atau jerkahan keras bernada memaksa. Yang ada cuma riak-riak wajah programmer yang sentiasa bersemangat menceriakan suasana hingga kadang-kadang mungkin ‘terover’.

Perjalanan QUDWAH diteruskan walaupun kehadiran anak-anak masih belum memberangsangkan lebih-lebih lagi di pihak banin. Pelbagai modul dibuat, slot muhasabah dari pihak Jabatan Nuqaba direncanakan untuk diadakan pada malam pertama. Objektifnya agar kesedaran dapat dijentik dari awal program, tidak seperti kebiasaan mana-nama program bercorak sama yang menanti malam terakhir untuk dikumpul segala kesalahan, barulah ‘disepak terajang’ dan ‘dibasuh’ semahunya. Ya, kami benar-benar mahu membawa perubahan.

Slot muhasabah Jabatan Nuqaba tidak lain bertujuan untuk menyedarkan semua bahawa usrah bukan peranan golongan tertentu sahaja. Golongan yang bertadhiyah tinggi, yang mempunyai kefahaman, golongan naqibah atau sesiapa sahaja yang dirasakan berautoriti, maka diserahkan bulat-bulat, mentah-mentah untuk menghidupkan usrah. Yang lain hanya membuka mulut menanti untuk disuapkan. Namun lebih malang, apabila mahu disuap, tidak mahu pula membuka mulut, malah lari mahu dikejar. Aduh, jenuh la begini, ibarat menjaga anak kecil sahaja perilakunya.

Maka selepas di brainstorm, kami senada bahawa adalah perlu dan mesti untuk membetulkan tanggapan ini. Maka berlakonlah para naqib sesuai mengikut keadaan barah yang melanda usrah Darul Quran. Air mata menitis. Kuakan keinsafan menjelma menerobos ruang hati yang kian mati. Tatkala itu, tinggi benar harapan para koordinator untuk melihat esok, hari kedua, sinar baru akan menjelma. Malah amat berharap agar kehadiran adalah 100 peratus. Adik-beradik yang masih belum hadir perlu dan masih boleh diajak untuk turut serta. Minda positif berkata begitu.

****

Dan hari kedua menjelma. Di pihak banat, kerusinya penuh-penuh, mampat-mampat. Diselangi dengan warna-warni jubah yang menceriakan audi. Berbeza pula dengan kerusi banin. Berlubang-lubang dan tiada wajah baru yang kelihatan. Tidak mengapa. Dan bahagian yang berautoriti juga tidak berkata apa. Biarkan sahaja. Nak datang, sila datang. Tidak mahu, tidak mengapa, tiada masalah. Yang penting adik-adik merasai mahabbah yang mahu ditonjolkan. Benarkah konsep mahabbah begitu? Satu lagi persoalan menjengah pemikiran, tergeliat-geliat mahu diberikan jawapan.

“ Assalamualaikum ustaz. Sekadar bertanya. Adakah tidak ada sekelumit syadid pun dalam pendekatan kita. Ana melihat kehadiran adik-adik sangat mengecewakan terutamanya dari sudut banin. Ana sangat setuju dengan pendapat ustaz memang usrah adalah untuk bermahabbah, berukhuwah, berkasih sayang tetapi melihat kepada keadaan sekarang, ana rasa kita patut menukar pendekatan kita, graf kita.

Ana merasakan adik-adik sudah tersalah tafsir tentang apakah majlis ilmu. Majlis ilmu bukan sekadar datang mendengar ceramah kemudian balik tanpa mengikuti program. Tetapi Latihan Dalam Kumpulan(LDK) juga adalah proses ilmu, bagaimana mahu mencanai ilmu yang dikutip dalam ceramah tadi. Tetapi konsep ilmu telah disalah mengerti. Ana mahu tegaskan bahawa bukan syadid atau mahabbah persoalannya. Tetapi perkara pokok dalam hal ini adalah hikmah. Hikmah adalah sesuatu yang adik-adik perlu, bukan apa yang kita mahu. Jika adik-adik PERLU ditegur dengan sedikit kasar atau nama komersialnya ‘SYADID’, maka PERLU untuk kita bertegas, dan di situlah hikmahnya.

Dan mahabbah tidak bermaksud kita membenarkan apa sahaja perilaku adik-adik yang tidak mahu memberi komitmen dalam program. QUDWAH adalah untuk memberi pemahaman yang lebih, kita mahu mewujudkan budaya berfikir. Alangkah rugi kepada adik-adik yang tidak menyedari kepentingan ini, dan adalah sangat malang bagi kita yang berautoriti dalam program ini tetapi tidak membuat apa-apa untuk membetulkan keadaan. QUDWAH majlis ilmu, majlis tarbiyah. Minta ustaz dapat fikir-fikirkan. Wallahu’alam.”

Panjang mesej yang diberi. Tapi tidak berjawab. Tidak mengapa. Kita memberi cadangan, walaupun agak lantang tetapi ianya perlu diutarakan. Agar tidak ada yang berbunyi selepas program, tiada siapa yang menegur, tiada siapa yang ambil peduli tentang masalah yang berlaku, pendekatan. Mengambil polisi ulama apabila berlaku perselisihan pendapat, ‘boleh jadi pendapatku yang diutarakan tadi salah dan ustaz itu yang benar, dan boleh jadi juga pandanganku benar, dan ustaz itu yang tersalah anggar’. Namun, tak dapat dinafikan, asyik terngiang-ngiang kalamullah di cuping telinga ini. Surah an-Nahl, ayat 124:

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmulah, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

****

Program QUDWAH tetap diteruskan.Pendekatan juga sama, tiada perubahan. Barangkali juga ustaz tersebut mengambil jalan, ‘mengapa dikejar yang tidak mahu, sedangkan yang mahu sedang menunggu. Terus saja buat yang terbaik agar yang mahu terus mahu dan mencetus mampu untuk terus menghidupkan usrah yang layu agar mendaki maju’. Maka mahu tidak mahu, terpaksa juga melangkah mengikut rentak si pencatur.

Teringat akan slot SURAT KEPADA RASULULLAH pada malam kedua dan juga malam terakhir program. Slot muhasabah terakhir. Mahu ‘dibasuh’ lagi. Slot khas untuk memperingati Rasululllah yang semasa hayatnya tidak pernah melupakan kita. Mungkin atau pasti hari ini, sekali lagi kita lupa akan baginda. Saya berani berkata begitu kerana saya juga lupa akan baginda sehinggalah saat artikel ini ditulis. Tangisan yang tumpah pada malam itu cuma retorika semata, ditambah dengan lagu syahdu yang amat biasa menggetarkan jiwa-jiwa yang mendengar. Tapi setakat itu sahaja, hanya pada malam itu sedikit kuakan keinsafan menerobos ke dalam hati bahawa ‘aku lupa akan baginda’. Sedu sedan mengisi setiap ceruk auditorium, merasa sangat bersalah kerana sering melupakan insan hebat kekasih Allah. Sehingga tidak terlafaz kata-kata mahu menyatakan bahawa betapa ‘aku cinta Rasulullah!’ Tapi hari ini, kita sudah lupa akan baginda s.a.w. Kita LUPA.

Pengendali slot tersebut, al- Fadhil Ustaz Marwan Bukhari, Exco LADAR 09/10 pada hujung ucapannya, berkali-kali mengatakan kesal akan kehadiran adik-adik yang sangat mengecewakan terutama daripada pihak banin. Persoalan yang ditanya tidak berjawab, “ Kalau beginilah institusi usrah, siapa lagi yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w? Siapa lagi?!”

Kelu. Tidak mampu menjawab. Yang terbayang hanyalah anak-anak usrah, yang diharapkan (menggunung tinggi harapanku) mampu menjadi pewaris perjuangan nabi. Adakah lagi golongan ghuraba’ di akhir zaman ini? Hati sayu mengenangkannya..

****

QUDWAH diteruskan sehingga akhir, pendekatan mahabbah dipertahankan. Sedikit terkilan di hati dengan sikap sesetengah pihak baik penganjur mahupun peserta. Adakah QUDWAH sekadar diambil enteng? Isu syadid diputarbelit dengan mengatakan bahawa ianya pendekatan tradisi, perlu diubah. Sedangkan isu utama ialah HIKMAH. Sekali lagi ditegaskan. Hikmah adalah sesuatu yang kita perlu, sesuatu yang jiwa kita perlu untuk menerima atau mendapat sesuatu, bukan apa yang kita mahu. Jika mahabbah adalah pendekatan yang terbaik kita gunakan pendekatan mahabbah, begitu juga sebaliknya. Itu isunya. HIKMAH.

Seterusnya sikap adik-adik. Sebilangan besar adik-adik banin langsung tidak mahu membuka ruang untuk menerima tarbiyah. Terfikir di minda, adakah adik-adik ini sudah mantap dari sudut pengisian ilmunya sehingga hanya memandang sebelah mata sahaja program QUDWAH. Ya, itu jawapan yang selayaknya, sudak cukup HEBAT. Namun teringat satu kata-kata, ‘ Siapa yang merasakan dirinya sudah cerdik, maka di situlah kebodohannya’. Bukan saya yang berkata dungu, tetapi Saidina Ali yang bermadah begitu.

Menyentuh mengenai adik-adik banat pula, kehadiran sangat memberangsangkan tetapi hanya Dia yang Tahu sama ada dihadirkan juga hati bersama. Ikhlas antara syarat utama amal. Satu perkara lagi, kepada adik-adik banin dan banat, jangan diterima bulat-bulat khabar yang mendatang. Buka minda seluasnya. Kita ada akal dan berhak untuk mencari kebenaran. Jangan ditolak sesuatu selagi tidak pasti kecacatannya. Teruskan berfikir hingga anda ketemu jawapannya. Itu sahaja yang mahu ditegur. Andai kata ada yang terguris, sejuta kemaafan saya pohonkan. Tetapi jika itu yang perlu agar adik-adik terbuka pemikiran untuk melihat mana yang betul, mana yang salah, maka perbuatan saya adalah betul, Menegur itu sesuatu yang perlu. QUDWAH benar-benar membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Tarbiyah Allah itu tidak boleh dipilih. Dari mana sahaja ia datang, maka terimalah dengan hati terbuka, insya Allah pencerahan minda akan berlaku dan di situ hikmahnya kan kau ketemu. Wallahu’alam.

1 comments:

cm knalla artikel ni wak...^_^

 

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...