✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

BERTAMBAHLAH MEREKA DALAM HALAQAH INI

Alhamdulillah, segala puji-pujian hanya untuk Allah SWT, Tuhan sekalian alam.

Kegembiraan ini ingin saya khabarkan pada semua. Alhamdulillah, empat hari lepas saya sudah bergelar “mak uda” untuk anak buah pertama saya. Cahaya mata kak long dan abang ipar saya. Ya Allah, sungguh comel bayi yang baru dilahirkan ini. Saya pula sangat rindu untuk mendengar tangisan comel dari anak anugerah Allah ini dalam teratak kami sekeluarga. Beerti bertambahlah bilangan ahli keluarga saya. Kini kami genap sepuluh orang semuanya. Alhamdulillah.

‘NUR IMAN MUKHLISAH’

Nama ni saya yang pilih untuk anak buah pertama saya. Akhirnya kak long dan abang long setuju dengan nama ini. Mudah-mudahan Iman menjadi anak yang solehah dan yang beriman. Mak uda sayang Iman. Mak uda doakan moga Iman juga bakal ikut jejak mak uda untuk menghafaz mukjizat Allah ye. Amin.

PERJUANGAN SEORANG IBU

Sayu hati saya taktala melihat wajah kakak semasa melawatnya di hospital tempuh hari. Walaupun Iman selamat dilahirkan, namun wajah kakak telah menggambarkan kepada kami betapa peritnya perjuangan seorang ibu. Bertarung nyawa untuk anak tersayang. Mungkin penderitaan dan perjuangan kakak dalam melahirkan bayi pertamanya hanya Allah sahaja mengetahui. Kakak pula banyak bercerita tentang pangalamannya dalam melahirkan anak. Saya menjadi semakin teruja, takut dan sedih. Wajah emak pula terbayang-bayang diminda saya. Pasti emak sakit semasa melahirkan saya. Kasihan emak. Moga Allah sahaja membalas segala pengorbanan emak kepada saya.

“Along, inilah jihad seorang ibu, memang sakit, tapi sabar ye nak.” Mak memberi kata semangat pada Along taktala melihat Along kelihatan tidak bermaya.

Ya Allah..hati saya berbisik, “ Along dan adik beradik lain ketahuilah kalian beginilah keadaan emak semasa melahirkan kita semua." Sayu hati ini, tidak mampu langsung untuk kami membalas jasa dan pengorbanan emak kepada kami. Tapi, apa yang telah kami lakukan untuk emak sepanjang tempuh hayatnya. Mudah-mudahan kami menjadi anak yang soleh dan solehah. Bekalan abadi untuk emak di akhirat nanti. Insya Allah. Amin.

IBRAH

Alhamdulillah Allah telah memberi peringatan kepada saya melalui pangalaman along dalam melahirkan anaknya. Saya bermuhasabah atas segala yang terjadi. Disebaliknya penuh dengan hikmah dan ibrah.

Kini bertambahlah mereka dalam halaqah usrah ISA dan AISHAH. Kami menyambut penuh kesyukuran kehadiran abang ipar kami dan juga cahaya matanya, NUR IMAN MUKHLISAH. Mudah-mudahan hadirnya mereka dalam halaqah ini membawa berkat dalam kehidupan kami sekeluarga.

“ RABBANA HABLANA MIN AZWAJINA WAZURRIYYATINA QURRATA A’YUN, WA JAALNA LILMUTTAQQINA IMAMA”


ISTIMEWA: SALAM LEBARAN BUAT SEMUA


...syukran n asif pasa us Muktasyaf. Ana copy gmbar yang us snap ni..


ALLAHU AKBAR..ALLAHU AKBAR..ALLAHU AKBAR

LAA ILA HAILLAALLAH WAALLAHU AKBAR

ALLAHU AKBAR WALILLAH ILHAMD…



Alhamdulillah wa syukurillah. Hari ini hari terakhir ibadah puasa pada bulan Ramadhan. Beerti esok merupakan hari kemenangan umat Islam, iaitu HARI RAYA. Jika tak tulis pun, semua orang tahu berkaitan ini. Ala kulli hal, SELAMAT MENYAMBUT HARI RAYA AIDILFITRI 1431H.

Entri saya kali ini, dengan sebesar hatinya saya ingin mengucapkan SALAM LEBARAN buat semua pengunjung blog saya, keluarga tercinta, adik beradik SEPERJUANGAN, semua pendidik dan warga DQ, sahabat sahabiah dan seluruh muslimin & muslimat.

Saya mohon sejuta kemaafan andai ada salah dan silap, hak-hak tidak tertunai dan segala macam kekurangan diri ini. Mohon dihalalkan segalanya. Mudah-mudahan hari lebaran ini dapat disambut dengan penuh rasa kesyukuran dan kegembiraan.

Jaga IMAN, kesihatan dan keselamatan..

KULLU ‘AAM WAANTUM BIKHAIR..

TULUS IKHLAS,
-MUJAHIDAH UMMAH133-

RAMADHAN: FASA AKHIR INI HAMPIR MENUTUP TIRAINYA



Subhanallah.. pejam celik pejam celik hari ini sudah masuk 27 Ramadan. Bererti tiga hari lagi, Ramadhan akan pergi meninggalkan kita. Namun, apakah natijah yang kita perolehi sepanjang menjalani madrasah tarbiyah ini. Apakah kita sekadar mendapat lapar dan dahaga? Atau keasyikkan dalam beribadah kepada Allah? Ataupun anda sendiri mampu menjawabnya. Tepuk dada tanyalah iman.

Rasa berat hati untuk membenarkan Ramadhan pergi, namun tiada siapa mampu menghalanginya. Inilah peraturan alam yang telah Allah aturkan. Mengapa di saat ini aku baru mahu untuk menghargai kedatangan Ramadhan? Hari-hari yang lepas tidak pula aku bersungguh-sungguh meraikan kedatangannya. Ajukan soalan ini kepada diri kita senua. Teringat saya, satu analogi yang saya sampaikan pada majlis tazkirah dua minggu lepas di surau asrama.

ANALOGI RINGKAS

“ Ramadhan ini umpama kawan baik kita yang telah setahun berpisah dengan kita. Suatu hari, kita dapat makluman dia akan datang menziarahi kita selama sebulan. Pada saat itu, pelbagai persiapan kita lakukan. Kita mengemas rumah, berfikir untuk sediakan makanan apa untuknya, nak bagi apa time dia datang nanti dan bermacam-macam lagi idea yang kita nak lakukan.

Tibalah saatnya, dia pun telah sampai ke rumah kita. Bukan main exited lagi kita menyambutnya. Melayannya dengan penuh istimewa. Tiga hari, enam hari, seminggu, dua dan tiga minggu kita hampir melupakan kedatangan istimewanya itu. Tidak lagi kita melayannya seperti di awal kedatangnnya yang lalu.

Hari ini, lebih kurang 12 jam lagi dia akan pergi. Mungkin pemergiannya ini untuk selamanya. Barulah di saat ini kita merasa sayu untuk melepaskannya, menyesal tidak menghargai sepenuh kehadirannya yang singkat itu. Namun segalanya tidak mendatangkan apa-apa, kerana dia tetap juga akan pergi.

Begitu juga dengan Ramadhan. Masih ingatkah kita bagaimana disaat awal kedatangannya. Poster, banner ditampal dan digantung tanda untuk mengizzahkan Ramadhan. Hari pertama bersolat terawih, soff jemaah hampir ke pintu belakang masjid, penuh dengan makmum yang hadir bersolat ketika itu. Majlis tadarus dipenuhi ramai. Namun hari berikutnya, bilangan ini semakin berkurang. Hari demi hari, tiada lagi izzah di bulan barakah ini.

Tiba pada detik ini, baru kita tersedar bahawa Ramadan bakal pergi. Hati-hati yang gersang mula menyesal tidak memanfaatkan Ramadhan sebaiknya. Di dalamnya pula, penuh dengan kelalaian dan kemaksiatan. Oh Ramadhan! jangan pergi meninggalkan kami."

Segalanya sudah terlewat. Gunakan masa yag berbaki ini sebaik mungkin. Moga diakhirnya kita mendapat keberkatan dari Allah.

MEMBURU AL QADR

Firman Allah:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada malam Lailatul-Qadar (1) Dan apa jalannya Engkau dapat mengetahui apa Dia kebesaran malam Lailatul-Qadar itu? (2) Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan.(3) Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril Dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa Segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun Yang berikut)(4) Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!(5)
         -al Qadr: 1-5-


Malam yang Allah janjikan lebih baik dari seribu bulan. Maka, beruntung bagi mereka yang memburu untuk mendapatkannya.

Allah menjadikan malam yang istimewa ini sebagai bonus untuk umat Nabi Muhammad SAW. Ini kerana jangka hayat umat kini adalah tidak panjang seperti umat-umat dari kaum-kaum yang terdahulu yang mampu beribadat bertahun-tahun lamanya. Allah permudahkan ianya lagi dengan menjadikan malam istimewa ini pada malam yang ganjil disepuluh malam terakhir. Ada pula riwayat yang mengatakan ianya berlaku pada 27 Ramadhan. Dan ada juga mengatakan ianya berlaku berdasarkan tarikh bermulanya awal Ramadhan dan beberapa lagi pendapat ulama yang lain.

Pada malamnya pula suasana sekeliling kelihatan tenang, tidak pula panas dan tidak pula sejuk. Suasananya hening, sunyi dan teneram. Keesokannya pula matahari tidak terlalu panas, dan keadaan ini berteruan sehingga terbitnya fajar. Alangkah bertuahnya kita kerana terlalu banyak petunjuk yang telah diberikan untuk mendapat Al Qadr ini. (rujukan beberapa buah hadis)

Pada saat itu, turunnya malaikat secara berbondong-bondong mengucapkan salam sejahtera kepada mumin yang bangun menghidupkan malam tersebut. Abu Hurairah menyifatkan, banyakknya bilangan malaikat itu melebihi pepasir yang berada di bumi ini.

Meskipun begitu, hanyalah mereka yang inginkan kepada Al Quran sahaja yang memperolehinya. Masakan orang yang menolak Al Quran, menolak hukum yang Allah tetapkan di dalamnya merasai kelebihan ini. Pasti ianya hanya untuk mereka yang cintakan Al Quran dan benar-benar mengkehendaki malam tersebut. Inilah mukjizat agung, mukjizat terpelihara.

“Maka carilah ia sungguh-sungguh pada sepuluh malam yang terakhir” –al bukhari-


MASIH ADAKAH LAGI WAKTU


Masa semakin menghampirin kita. Namun, gunalah masa yang berbaki ini sebaik mungkin sementara masih ada lagi waktu untuk kita beribadah kepada Allah, mengharap maghfirah dan rahmat dari Nya.

“ KU MENGHARAPKAN RAMADHAN KALI INI PENUH MAKNA”

Inilah tema Ramadhan yang dibawa oleh LADAR PERKEMAT 09/10. Tersenyum saya taktala teringat peritiwa untuk mensyurakan nama tema ini dalam meeting Ihya Ramadhan Ladar sebulan yang lepas. Tema ini penuh dengan makna bagi yang menghayatinya. Hanya diri kita sendiri sahaja yang mengetahui sejauh mana Ramadhan kali ini bermakna ataupun tidak buat kita. Moga Allah mempertemukan bulan kerinduan ini pada tahun hadapan. Itupun andai Allah masih memberi kesempatan untuk kita hidup di muka bumi ini.

Allahumma innaka 'afuun karim, tuhibbul 'afwa fa’fuanna..
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...