✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

KAMI DI BAWAH AGAMA PEMIMPIN KAMI..

bismillahirrahmaniirahim...

Salam Eidul Adha saya ucapkan buat semua tetamu alam maya ini. Moga dengan hadirnya kedatangan Eidul Adha ini memberi motivasi pada kita sebagai pejuang Islam untuk terus berkorban demi agama Muhammad yg dicintai ini…

Dalam keriuhan musim pilihan raya kampus saya pada saat ini, fikiran saya terbang membawa saya mengimbau kembali saat saya mula dilantik menjadi seorang exco. Jawatan yang tak pernah saya impikan atau idamkan sebelum ini. Apatah lagi menggalas jawatan sebagai timbalan Exco Lajnah Dakwah dan Tarbiyah kampus. Sesuatu yang sangat mencabar yang memerlukan kekuatan yang tinggi.. (Rasanya tak sampai seminggu kami memegang taklifat sebagai EXCO PERKEMAT 09/10 ketika itu)

****

Gambar pemimpin

Suasana di dalam kelas tasmi’ ketika itu sunnguh tenang. Selepas semua pelajar selesai menghabiskan bacaan mereka, ustazah tasmi’ saya (Ust Nazaturraha) memberi tazkirah ringkas untuk makanan rohani anak didiknya. Potongan ayat Al Quran dari surah Baqarah ayat 246-252 (boleh rujuk terjemahannya dalam al quran, kisah Talut dan Jalut) dibacanya dengan terjemahannya sekali. Sungguh! saat itu berdebar hati saya.
Ia pasti berkaitan dengan pemimpin. Saya meneka sendiri.

Ya benar. Tepat tekaan saya.

Mata saya melirik memandang adik beradik exco saya yang turut berada dikelas ketika itu. Farhanah membalas pandangan saya, dan saya boleh membaca pandangan matanya ketika itu yang meminta agar saya bertenang. Hati kami seakan gusar, moga ustazah dapat mempercepatkan tazkirahnya ketika itu.

Inilah kisah Talut dan Jalut yang diceritakan Allah di dalam Al Quran. Selesai ustazah cerita dengan panjang lebarnya berkaitan Talut dan Jalut ini, ustazah mengajukan soalan kepada kami semua.

“Kenapa Allah memilih Talut untuk menjadi ketua ketika itu? Sedangkan Talut merupakan seorang petani dan peternak miskin dari desa, dan tidak mempunyai apa-apa kekayaan.”

Soalan ustazah sebentar tadi tidak dijawab. Semua mata memandang uztazah menanti kisah seterusnya.
Dengan tenangnya ustazah membaca ayat ini kapada kami.

Dan Nabi mereka pula berkata kepada mereka:
"Bahawasanya Allah telah melantik Talut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab: "Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kuasa pemerintahan itu daripadanya, dan ia pula tidak diberi keluasan harta kekayaan?" Nabi mereka berkata:" Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan". Dan (ingatlah), Allah jualah yang memberikan kuasa pemerintahan kepada sesiapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan pengurniaanNya), lagi meliputi ilmuNya. (al baqarah:247)

Ayat ini diulang ustazah untuk kali kedua.

"Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Talut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan dalam lapangan ilmu pengetahuan dan kegagahan tubuh badan".

“Jadi, untuk menjadi seorang pemimpin, yang pertama mesti ada ilmu pengetahuan dan yang kedua mestilah seorang yang kuat, serta sihat tubuh badan.”

“Jadi pemimpin ni tak boleh seorang yang lembik. Kena seorangyang kuat.” 


Tegas nada ustazh ketika itu.

“Siapa yang jadi exco dalam kelas ni?” 


Ustazah bertanya.

Rakan sekelas tasmi’ saya memandang ke arah saya dan Farhana. Kebetulan di dalam kelas, kami duduk bersebelahan.

“Ustazah nak pesan pada semua, siapa pun yang menjadi pemimpin dalam kalangan kamu, kamu semua harus memberi wala’ kepada mereka selagi mana arahan mereka tidak melanggar syara’.”

Tenang hati saya dan Farhana. Kembali bersemangat saya ketika itu. Ustazah memberi sokongan kepada kami. Terima kasih ustazah..

****

“Usul saya pada kali ini, calon exco mestilah seorang yang sihat. Tidak ada penyakit.”“Ini kerana, kalau seorang exco tu sakit camana nak buat keja? Kelas tak pergi..bla..bla..bla..”

Lantang suara seorang banat dalam malam perbahasan usul sesi yang lepas.
Suasana dewan hangat. Ada yang betepuk tangan tanda bersetuju.

“Sakit ni adalah perkara yang tidakk boleh di bawa dalam usul pada malam ni. Sakit ni adalah kerja Allah, kita tak boleh nak jangka sakit tu datang bila. Kalua pun kita sihat harini, siapa jangka kita akan sakit pada hari akan datang? Saya tak setuju dengan usul berkenaaan!”

Usul yang dicadangkan tadi hebat diperdebatkan ahli dewan ketika itu.
Hinggalah PPC (Penyelaras Pemilihan Calon) memutuskan bahawa usul tersebut ditolak.

Dah tu orang yang sakit tidak boleh jadi pemimpin lah? Begitu?
Bagaimana dengan Perdana Menteri dan orang-orang yang berpengaruh yang lain? Mereka tidak berpenyakit kah?. Mana mungkin. Isu PM masuk hospital pun sudah heboh satu Malaysia, siap tu letak berita tersebut sebagai berita utama semua akhbar tempatan. Hebat bukan.
Saya tersenyum sendiri. Kalaulah seorang yang sakit tidak boleh jadi pemimpin, justeru saya sarankan PM untuk letak jawatan sekarang.

****
Pemimpin yang sakit

Kegagahan tubuh badan adalah mereka yang kuat dan sihat. Ya saya setuju dengan penjelasan ustazah saya tadi. Tapi ia bukan bermakna sihatnya seseorang itu tanpa didatangi sebarang penyakit. Saya kira perkara ini agak ganjil jika seseorang itu tidak didatangi penyakit. Boleh jadi something wrong dalam kehidupan dia (bak kata us Aziz lah). Sakit adalah tanda sayang Allah terhadap makhluknya. Tanbih buat hambanya yang alpa. Namun, maksud ‘sakit’ disini bukanlah yang memiliki sakit yang kronik yang tidak mampu menguruskan dirinya apatah lagi menguruskan orang lain. Ya, yang ini saya bersetuju. Golongan seperti ini perlukan rawatan untuk kesihatan diri mereka. Ini yang utama.



Sakit dan mampu melaksanakan tanggugjawabnya.

Saya kagum dengan pemimpin begini. Meskipun dalam keadaan yang kurang sihat masih mampu melaksanakn tanggugjawab sebaiknya. Lagi membanggakan reputasi kehadiran ke kelas sangat baik dan bonus pula bagi diri mereka apabila cemerlang dalam akademik dan sahsiah. Subhanallah. Kekuatan bukan dilihat secara lahiriah sahaja yakni memiliki fizikal yang kuat semata, akan tetapi kekuatan ruhiyah adalah lebih utama. Kekuatan jiwa nan kental dan hati yang utuh pada perjuangan yang diperjuangkan.

****

Firman Allah S.W.T dalam surah al Qasas ayat 26:

إن خير من استئجرت القوي الأمينSesungguhnya orang yang paling baik yang engkau amik sebagai pekerja (kepada kita) ialah seorang yang kuat dan boleh dipercayai.

Al Qawiy. Al Amin.



Air mata seorang pemimpin yang takutkan Allah(gambar sekadar motivasi)



Sebagai seorang pemimpin kedua-dua ciri di atas adalah sangat penting. Mari kita cari pemimpin Al Amin, pemimpin yang boleh dipercayai.

Sebuah kisah dalam al-Quran menunjukkan hal ini, yakni ketika Nabi Yusuf a.s. meminta kepada Allah agar menjadikannya sebagai bendaharawan Mesir. Baginda mengatakan,

إِنِّي حَفِيْظٌ عَلِيْمٌ
“Sesungguhnya aku adalah orang yang amanah dan punya ilmu.”


Dari ayat di atas dapat disimpulkan bahawa seseorang yang merasakan dirinya mampu, ia boleh saja menawarkan diri untuk menjadi pemimpin. Apakah modal Nabi Yusuf sehingga baginda menawarkan diri menjadi bendaharawan Mesir?? 


Pertama, baginda menyatakan, aku adalah orang yang amanah. 
Dan kedua, aku adalah orang yang punya ilmu.

Dalam pernyataan baginda, amanah didahulukan daripada ilmu. Ini karana amanah itu lebih penting dari ilmu. Karana sifat amanah itu datang dari dalam jiwa dan peribadi kita. Sedangkan ilmu kita boleh menuntutnya dengan orang lain. Amanah itu adalah watak dan ianya sulit untuk dibentuk kalau bukan dari diri kita sendiri. Kepandaian tanpa didahului sifat amanah, akan membahayakan dirinya dan orang lain.

****

Mari terjemahkan dalam kehidupan seharian

Pemimimpin yang dipercayai akan disayangi rakyat. Rakyat akan mula suka terhadap mereka dan ini sekaligus menambah pengaruh terhadap kepimpinan pemimpin tersebut. Justeru, untuk semua yang bergelar pemimpin, marilah kita pupuk dan tanam ciri-ciri sebagai seorang pemimpin dalam diri kita. Kita terjemahkannya melalui kehidupan seharian kita. Jadilah pemimpin yang dipercayai, kuat serta berpengetahuan.

Kami di bawah agama pemimpin kami (gambar sekadar motivasi)



Rakyat akan berada di bawah agama pemimpinnya. Sekiranya pemimpin seorang yang beriman maka rakyatnya turut beriman. Sekiranya seorang pemimpin itu sukakan hiburan dan perkara maksiat maka dengan sendiri rakyatnya akan sukakan maksiat. Berhati-hatilah memilih pemimpin kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat nanti atas apa yang pemimpin kita lakukan

Dan kita pula berada di bawah agama pimpinan diri kita sendiri. Sekiranya HATI seorang itu beriman maka ANGGOTO-ANGGOTA nya turut beriman. Sekiranya seorang itu HATI nya sukakan hiburan dan perkara maksiat maka dengan sendiri ANGGOTA-ANGGOTA nya akan sukakan maksiat.


Mari menjadi pemimpin yang BERTAQWA, terutama dalam memimpin diri sendiri.
Sekadar perkongsian bersama dari insan lemah ini. Segala yang baik datang dari Allah, dan kelemahan dan kekurangan itu datang dari diri ini sendiri. 


Siiru ala barakatillah..

ANTARA SYADID DAN MAHABBAH: HIKMAH YANG DILUPAKAN

Post kali ini saya pinjam dari adik saya, timbalan unit informasi dan kefahaman islam, LADAR untuk perkongsian pembaca sekalian. Asalnya artikel ini ditampal di softboard Ladar untuk sesi akhir sebelum beralih tampuk pimpinan PERKEMAT yang akan datang.. Hebat juga adik dalam menulis. Nice! Selamat membaca.


“Ana tak setuju buat pendekatan syadid. Kenapa mesti syadid sedangkan ini program usrah. Perlu kepada pendekatan mahabbah, kasih sayang dan ukhuwah”

Suara ustaz meninggi. Pendapatnya dipertahan hebat. Syadid bukan satu pilihan, merupakan ketidakwajaran yang perlu dibuang daripada apa sahaja program. Syadid menambahkan kebencian, mengurangkan kasih sayang.

“Baiklah ustaz. Kita guna pendekatan mahabbah untuk QUDWAH kali ini.”

Kata putus diambil setelah pelbagai faktor dibahaskan. Mahabbah, ukhuwah. Pendekatan yang dipilih untuk menyentuh hati anak-anak. Dengan harapan, institusi usrah akan dapat diperkasakan, dan program-program PERKEMAT bercorak sama dapat diubah paradigma bahawa ianya berbentuk syadid, tidak kena cara, tak berhikmah dan sebagainya.

****

Hari pertama, kehadiran anak-anak samada banin mahupun banat tidak penuh. Tempat duduk banin di Auditorium Sheikh Mohd Noor itu ketara kosongnya. Pelbagai respon yang diterima apabila soalan ‘di mana adik-beradik yang lain’ diajukan. Sakit, outing dan memang tidak mahu hadir menambah haru ‘hati’ yang mencuka. Program diteruskan dengan harapan kehadiran akan terus bertambah. Tiada paksaan, cuma harapan. Tiada jeritan atau jerkahan keras bernada memaksa. Yang ada cuma riak-riak wajah programmer yang sentiasa bersemangat menceriakan suasana hingga kadang-kadang mungkin ‘terover’.

Perjalanan QUDWAH diteruskan walaupun kehadiran anak-anak masih belum memberangsangkan lebih-lebih lagi di pihak banin. Pelbagai modul dibuat, slot muhasabah dari pihak Jabatan Nuqaba direncanakan untuk diadakan pada malam pertama. Objektifnya agar kesedaran dapat dijentik dari awal program, tidak seperti kebiasaan mana-nama program bercorak sama yang menanti malam terakhir untuk dikumpul segala kesalahan, barulah ‘disepak terajang’ dan ‘dibasuh’ semahunya. Ya, kami benar-benar mahu membawa perubahan.

Slot muhasabah Jabatan Nuqaba tidak lain bertujuan untuk menyedarkan semua bahawa usrah bukan peranan golongan tertentu sahaja. Golongan yang bertadhiyah tinggi, yang mempunyai kefahaman, golongan naqibah atau sesiapa sahaja yang dirasakan berautoriti, maka diserahkan bulat-bulat, mentah-mentah untuk menghidupkan usrah. Yang lain hanya membuka mulut menanti untuk disuapkan. Namun lebih malang, apabila mahu disuap, tidak mahu pula membuka mulut, malah lari mahu dikejar. Aduh, jenuh la begini, ibarat menjaga anak kecil sahaja perilakunya.

Maka selepas di brainstorm, kami senada bahawa adalah perlu dan mesti untuk membetulkan tanggapan ini. Maka berlakonlah para naqib sesuai mengikut keadaan barah yang melanda usrah Darul Quran. Air mata menitis. Kuakan keinsafan menjelma menerobos ruang hati yang kian mati. Tatkala itu, tinggi benar harapan para koordinator untuk melihat esok, hari kedua, sinar baru akan menjelma. Malah amat berharap agar kehadiran adalah 100 peratus. Adik-beradik yang masih belum hadir perlu dan masih boleh diajak untuk turut serta. Minda positif berkata begitu.

****

Dan hari kedua menjelma. Di pihak banat, kerusinya penuh-penuh, mampat-mampat. Diselangi dengan warna-warni jubah yang menceriakan audi. Berbeza pula dengan kerusi banin. Berlubang-lubang dan tiada wajah baru yang kelihatan. Tidak mengapa. Dan bahagian yang berautoriti juga tidak berkata apa. Biarkan sahaja. Nak datang, sila datang. Tidak mahu, tidak mengapa, tiada masalah. Yang penting adik-adik merasai mahabbah yang mahu ditonjolkan. Benarkah konsep mahabbah begitu? Satu lagi persoalan menjengah pemikiran, tergeliat-geliat mahu diberikan jawapan.

“ Assalamualaikum ustaz. Sekadar bertanya. Adakah tidak ada sekelumit syadid pun dalam pendekatan kita. Ana melihat kehadiran adik-adik sangat mengecewakan terutamanya dari sudut banin. Ana sangat setuju dengan pendapat ustaz memang usrah adalah untuk bermahabbah, berukhuwah, berkasih sayang tetapi melihat kepada keadaan sekarang, ana rasa kita patut menukar pendekatan kita, graf kita.

Ana merasakan adik-adik sudah tersalah tafsir tentang apakah majlis ilmu. Majlis ilmu bukan sekadar datang mendengar ceramah kemudian balik tanpa mengikuti program. Tetapi Latihan Dalam Kumpulan(LDK) juga adalah proses ilmu, bagaimana mahu mencanai ilmu yang dikutip dalam ceramah tadi. Tetapi konsep ilmu telah disalah mengerti. Ana mahu tegaskan bahawa bukan syadid atau mahabbah persoalannya. Tetapi perkara pokok dalam hal ini adalah hikmah. Hikmah adalah sesuatu yang adik-adik perlu, bukan apa yang kita mahu. Jika adik-adik PERLU ditegur dengan sedikit kasar atau nama komersialnya ‘SYADID’, maka PERLU untuk kita bertegas, dan di situlah hikmahnya.

Dan mahabbah tidak bermaksud kita membenarkan apa sahaja perilaku adik-adik yang tidak mahu memberi komitmen dalam program. QUDWAH adalah untuk memberi pemahaman yang lebih, kita mahu mewujudkan budaya berfikir. Alangkah rugi kepada adik-adik yang tidak menyedari kepentingan ini, dan adalah sangat malang bagi kita yang berautoriti dalam program ini tetapi tidak membuat apa-apa untuk membetulkan keadaan. QUDWAH majlis ilmu, majlis tarbiyah. Minta ustaz dapat fikir-fikirkan. Wallahu’alam.”

Panjang mesej yang diberi. Tapi tidak berjawab. Tidak mengapa. Kita memberi cadangan, walaupun agak lantang tetapi ianya perlu diutarakan. Agar tidak ada yang berbunyi selepas program, tiada siapa yang menegur, tiada siapa yang ambil peduli tentang masalah yang berlaku, pendekatan. Mengambil polisi ulama apabila berlaku perselisihan pendapat, ‘boleh jadi pendapatku yang diutarakan tadi salah dan ustaz itu yang benar, dan boleh jadi juga pandanganku benar, dan ustaz itu yang tersalah anggar’. Namun, tak dapat dinafikan, asyik terngiang-ngiang kalamullah di cuping telinga ini. Surah an-Nahl, ayat 124:

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmulah, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

****

Program QUDWAH tetap diteruskan.Pendekatan juga sama, tiada perubahan. Barangkali juga ustaz tersebut mengambil jalan, ‘mengapa dikejar yang tidak mahu, sedangkan yang mahu sedang menunggu. Terus saja buat yang terbaik agar yang mahu terus mahu dan mencetus mampu untuk terus menghidupkan usrah yang layu agar mendaki maju’. Maka mahu tidak mahu, terpaksa juga melangkah mengikut rentak si pencatur.

Teringat akan slot SURAT KEPADA RASULULLAH pada malam kedua dan juga malam terakhir program. Slot muhasabah terakhir. Mahu ‘dibasuh’ lagi. Slot khas untuk memperingati Rasululllah yang semasa hayatnya tidak pernah melupakan kita. Mungkin atau pasti hari ini, sekali lagi kita lupa akan baginda. Saya berani berkata begitu kerana saya juga lupa akan baginda sehinggalah saat artikel ini ditulis. Tangisan yang tumpah pada malam itu cuma retorika semata, ditambah dengan lagu syahdu yang amat biasa menggetarkan jiwa-jiwa yang mendengar. Tapi setakat itu sahaja, hanya pada malam itu sedikit kuakan keinsafan menerobos ke dalam hati bahawa ‘aku lupa akan baginda’. Sedu sedan mengisi setiap ceruk auditorium, merasa sangat bersalah kerana sering melupakan insan hebat kekasih Allah. Sehingga tidak terlafaz kata-kata mahu menyatakan bahawa betapa ‘aku cinta Rasulullah!’ Tapi hari ini, kita sudah lupa akan baginda s.a.w. Kita LUPA.

Pengendali slot tersebut, al- Fadhil Ustaz Marwan Bukhari, Exco LADAR 09/10 pada hujung ucapannya, berkali-kali mengatakan kesal akan kehadiran adik-adik yang sangat mengecewakan terutama daripada pihak banin. Persoalan yang ditanya tidak berjawab, “ Kalau beginilah institusi usrah, siapa lagi yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w? Siapa lagi?!”

Kelu. Tidak mampu menjawab. Yang terbayang hanyalah anak-anak usrah, yang diharapkan (menggunung tinggi harapanku) mampu menjadi pewaris perjuangan nabi. Adakah lagi golongan ghuraba’ di akhir zaman ini? Hati sayu mengenangkannya..

****

QUDWAH diteruskan sehingga akhir, pendekatan mahabbah dipertahankan. Sedikit terkilan di hati dengan sikap sesetengah pihak baik penganjur mahupun peserta. Adakah QUDWAH sekadar diambil enteng? Isu syadid diputarbelit dengan mengatakan bahawa ianya pendekatan tradisi, perlu diubah. Sedangkan isu utama ialah HIKMAH. Sekali lagi ditegaskan. Hikmah adalah sesuatu yang kita perlu, sesuatu yang jiwa kita perlu untuk menerima atau mendapat sesuatu, bukan apa yang kita mahu. Jika mahabbah adalah pendekatan yang terbaik kita gunakan pendekatan mahabbah, begitu juga sebaliknya. Itu isunya. HIKMAH.

Seterusnya sikap adik-adik. Sebilangan besar adik-adik banin langsung tidak mahu membuka ruang untuk menerima tarbiyah. Terfikir di minda, adakah adik-adik ini sudah mantap dari sudut pengisian ilmunya sehingga hanya memandang sebelah mata sahaja program QUDWAH. Ya, itu jawapan yang selayaknya, sudak cukup HEBAT. Namun teringat satu kata-kata, ‘ Siapa yang merasakan dirinya sudah cerdik, maka di situlah kebodohannya’. Bukan saya yang berkata dungu, tetapi Saidina Ali yang bermadah begitu.

Menyentuh mengenai adik-adik banat pula, kehadiran sangat memberangsangkan tetapi hanya Dia yang Tahu sama ada dihadirkan juga hati bersama. Ikhlas antara syarat utama amal. Satu perkara lagi, kepada adik-adik banin dan banat, jangan diterima bulat-bulat khabar yang mendatang. Buka minda seluasnya. Kita ada akal dan berhak untuk mencari kebenaran. Jangan ditolak sesuatu selagi tidak pasti kecacatannya. Teruskan berfikir hingga anda ketemu jawapannya. Itu sahaja yang mahu ditegur. Andai kata ada yang terguris, sejuta kemaafan saya pohonkan. Tetapi jika itu yang perlu agar adik-adik terbuka pemikiran untuk melihat mana yang betul, mana yang salah, maka perbuatan saya adalah betul, Menegur itu sesuatu yang perlu. QUDWAH benar-benar membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Tarbiyah Allah itu tidak boleh dipilih. Dari mana sahaja ia datang, maka terimalah dengan hati terbuka, insya Allah pencerahan minda akan berlaku dan di situ hikmahnya kan kau ketemu. Wallahu’alam.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...