✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

ANTARA SYADID DAN MAHABBAH: HIKMAH YANG DILUPAKAN

Post kali ini saya pinjam dari adik saya, timbalan unit informasi dan kefahaman islam, LADAR untuk perkongsian pembaca sekalian. Asalnya artikel ini ditampal di softboard Ladar untuk sesi akhir sebelum beralih tampuk pimpinan PERKEMAT yang akan datang.. Hebat juga adik dalam menulis. Nice! Selamat membaca.


“Ana tak setuju buat pendekatan syadid. Kenapa mesti syadid sedangkan ini program usrah. Perlu kepada pendekatan mahabbah, kasih sayang dan ukhuwah”

Suara ustaz meninggi. Pendapatnya dipertahan hebat. Syadid bukan satu pilihan, merupakan ketidakwajaran yang perlu dibuang daripada apa sahaja program. Syadid menambahkan kebencian, mengurangkan kasih sayang.

“Baiklah ustaz. Kita guna pendekatan mahabbah untuk QUDWAH kali ini.”

Kata putus diambil setelah pelbagai faktor dibahaskan. Mahabbah, ukhuwah. Pendekatan yang dipilih untuk menyentuh hati anak-anak. Dengan harapan, institusi usrah akan dapat diperkasakan, dan program-program PERKEMAT bercorak sama dapat diubah paradigma bahawa ianya berbentuk syadid, tidak kena cara, tak berhikmah dan sebagainya.

****

Hari pertama, kehadiran anak-anak samada banin mahupun banat tidak penuh. Tempat duduk banin di Auditorium Sheikh Mohd Noor itu ketara kosongnya. Pelbagai respon yang diterima apabila soalan ‘di mana adik-beradik yang lain’ diajukan. Sakit, outing dan memang tidak mahu hadir menambah haru ‘hati’ yang mencuka. Program diteruskan dengan harapan kehadiran akan terus bertambah. Tiada paksaan, cuma harapan. Tiada jeritan atau jerkahan keras bernada memaksa. Yang ada cuma riak-riak wajah programmer yang sentiasa bersemangat menceriakan suasana hingga kadang-kadang mungkin ‘terover’.

Perjalanan QUDWAH diteruskan walaupun kehadiran anak-anak masih belum memberangsangkan lebih-lebih lagi di pihak banin. Pelbagai modul dibuat, slot muhasabah dari pihak Jabatan Nuqaba direncanakan untuk diadakan pada malam pertama. Objektifnya agar kesedaran dapat dijentik dari awal program, tidak seperti kebiasaan mana-nama program bercorak sama yang menanti malam terakhir untuk dikumpul segala kesalahan, barulah ‘disepak terajang’ dan ‘dibasuh’ semahunya. Ya, kami benar-benar mahu membawa perubahan.

Slot muhasabah Jabatan Nuqaba tidak lain bertujuan untuk menyedarkan semua bahawa usrah bukan peranan golongan tertentu sahaja. Golongan yang bertadhiyah tinggi, yang mempunyai kefahaman, golongan naqibah atau sesiapa sahaja yang dirasakan berautoriti, maka diserahkan bulat-bulat, mentah-mentah untuk menghidupkan usrah. Yang lain hanya membuka mulut menanti untuk disuapkan. Namun lebih malang, apabila mahu disuap, tidak mahu pula membuka mulut, malah lari mahu dikejar. Aduh, jenuh la begini, ibarat menjaga anak kecil sahaja perilakunya.

Maka selepas di brainstorm, kami senada bahawa adalah perlu dan mesti untuk membetulkan tanggapan ini. Maka berlakonlah para naqib sesuai mengikut keadaan barah yang melanda usrah Darul Quran. Air mata menitis. Kuakan keinsafan menjelma menerobos ruang hati yang kian mati. Tatkala itu, tinggi benar harapan para koordinator untuk melihat esok, hari kedua, sinar baru akan menjelma. Malah amat berharap agar kehadiran adalah 100 peratus. Adik-beradik yang masih belum hadir perlu dan masih boleh diajak untuk turut serta. Minda positif berkata begitu.

****

Dan hari kedua menjelma. Di pihak banat, kerusinya penuh-penuh, mampat-mampat. Diselangi dengan warna-warni jubah yang menceriakan audi. Berbeza pula dengan kerusi banin. Berlubang-lubang dan tiada wajah baru yang kelihatan. Tidak mengapa. Dan bahagian yang berautoriti juga tidak berkata apa. Biarkan sahaja. Nak datang, sila datang. Tidak mahu, tidak mengapa, tiada masalah. Yang penting adik-adik merasai mahabbah yang mahu ditonjolkan. Benarkah konsep mahabbah begitu? Satu lagi persoalan menjengah pemikiran, tergeliat-geliat mahu diberikan jawapan.

“ Assalamualaikum ustaz. Sekadar bertanya. Adakah tidak ada sekelumit syadid pun dalam pendekatan kita. Ana melihat kehadiran adik-adik sangat mengecewakan terutamanya dari sudut banin. Ana sangat setuju dengan pendapat ustaz memang usrah adalah untuk bermahabbah, berukhuwah, berkasih sayang tetapi melihat kepada keadaan sekarang, ana rasa kita patut menukar pendekatan kita, graf kita.

Ana merasakan adik-adik sudah tersalah tafsir tentang apakah majlis ilmu. Majlis ilmu bukan sekadar datang mendengar ceramah kemudian balik tanpa mengikuti program. Tetapi Latihan Dalam Kumpulan(LDK) juga adalah proses ilmu, bagaimana mahu mencanai ilmu yang dikutip dalam ceramah tadi. Tetapi konsep ilmu telah disalah mengerti. Ana mahu tegaskan bahawa bukan syadid atau mahabbah persoalannya. Tetapi perkara pokok dalam hal ini adalah hikmah. Hikmah adalah sesuatu yang adik-adik perlu, bukan apa yang kita mahu. Jika adik-adik PERLU ditegur dengan sedikit kasar atau nama komersialnya ‘SYADID’, maka PERLU untuk kita bertegas, dan di situlah hikmahnya.

Dan mahabbah tidak bermaksud kita membenarkan apa sahaja perilaku adik-adik yang tidak mahu memberi komitmen dalam program. QUDWAH adalah untuk memberi pemahaman yang lebih, kita mahu mewujudkan budaya berfikir. Alangkah rugi kepada adik-adik yang tidak menyedari kepentingan ini, dan adalah sangat malang bagi kita yang berautoriti dalam program ini tetapi tidak membuat apa-apa untuk membetulkan keadaan. QUDWAH majlis ilmu, majlis tarbiyah. Minta ustaz dapat fikir-fikirkan. Wallahu’alam.”

Panjang mesej yang diberi. Tapi tidak berjawab. Tidak mengapa. Kita memberi cadangan, walaupun agak lantang tetapi ianya perlu diutarakan. Agar tidak ada yang berbunyi selepas program, tiada siapa yang menegur, tiada siapa yang ambil peduli tentang masalah yang berlaku, pendekatan. Mengambil polisi ulama apabila berlaku perselisihan pendapat, ‘boleh jadi pendapatku yang diutarakan tadi salah dan ustaz itu yang benar, dan boleh jadi juga pandanganku benar, dan ustaz itu yang tersalah anggar’. Namun, tak dapat dinafikan, asyik terngiang-ngiang kalamullah di cuping telinga ini. Surah an-Nahl, ayat 124:

“Serulah manusia kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmulah, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk.”

****

Program QUDWAH tetap diteruskan.Pendekatan juga sama, tiada perubahan. Barangkali juga ustaz tersebut mengambil jalan, ‘mengapa dikejar yang tidak mahu, sedangkan yang mahu sedang menunggu. Terus saja buat yang terbaik agar yang mahu terus mahu dan mencetus mampu untuk terus menghidupkan usrah yang layu agar mendaki maju’. Maka mahu tidak mahu, terpaksa juga melangkah mengikut rentak si pencatur.

Teringat akan slot SURAT KEPADA RASULULLAH pada malam kedua dan juga malam terakhir program. Slot muhasabah terakhir. Mahu ‘dibasuh’ lagi. Slot khas untuk memperingati Rasululllah yang semasa hayatnya tidak pernah melupakan kita. Mungkin atau pasti hari ini, sekali lagi kita lupa akan baginda. Saya berani berkata begitu kerana saya juga lupa akan baginda sehinggalah saat artikel ini ditulis. Tangisan yang tumpah pada malam itu cuma retorika semata, ditambah dengan lagu syahdu yang amat biasa menggetarkan jiwa-jiwa yang mendengar. Tapi setakat itu sahaja, hanya pada malam itu sedikit kuakan keinsafan menerobos ke dalam hati bahawa ‘aku lupa akan baginda’. Sedu sedan mengisi setiap ceruk auditorium, merasa sangat bersalah kerana sering melupakan insan hebat kekasih Allah. Sehingga tidak terlafaz kata-kata mahu menyatakan bahawa betapa ‘aku cinta Rasulullah!’ Tapi hari ini, kita sudah lupa akan baginda s.a.w. Kita LUPA.

Pengendali slot tersebut, al- Fadhil Ustaz Marwan Bukhari, Exco LADAR 09/10 pada hujung ucapannya, berkali-kali mengatakan kesal akan kehadiran adik-adik yang sangat mengecewakan terutama daripada pihak banin. Persoalan yang ditanya tidak berjawab, “ Kalau beginilah institusi usrah, siapa lagi yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Rasulullah s.a.w? Siapa lagi?!”

Kelu. Tidak mampu menjawab. Yang terbayang hanyalah anak-anak usrah, yang diharapkan (menggunung tinggi harapanku) mampu menjadi pewaris perjuangan nabi. Adakah lagi golongan ghuraba’ di akhir zaman ini? Hati sayu mengenangkannya..

****

QUDWAH diteruskan sehingga akhir, pendekatan mahabbah dipertahankan. Sedikit terkilan di hati dengan sikap sesetengah pihak baik penganjur mahupun peserta. Adakah QUDWAH sekadar diambil enteng? Isu syadid diputarbelit dengan mengatakan bahawa ianya pendekatan tradisi, perlu diubah. Sedangkan isu utama ialah HIKMAH. Sekali lagi ditegaskan. Hikmah adalah sesuatu yang kita perlu, sesuatu yang jiwa kita perlu untuk menerima atau mendapat sesuatu, bukan apa yang kita mahu. Jika mahabbah adalah pendekatan yang terbaik kita gunakan pendekatan mahabbah, begitu juga sebaliknya. Itu isunya. HIKMAH.

Seterusnya sikap adik-adik. Sebilangan besar adik-adik banin langsung tidak mahu membuka ruang untuk menerima tarbiyah. Terfikir di minda, adakah adik-adik ini sudah mantap dari sudut pengisian ilmunya sehingga hanya memandang sebelah mata sahaja program QUDWAH. Ya, itu jawapan yang selayaknya, sudak cukup HEBAT. Namun teringat satu kata-kata, ‘ Siapa yang merasakan dirinya sudah cerdik, maka di situlah kebodohannya’. Bukan saya yang berkata dungu, tetapi Saidina Ali yang bermadah begitu.

Menyentuh mengenai adik-adik banat pula, kehadiran sangat memberangsangkan tetapi hanya Dia yang Tahu sama ada dihadirkan juga hati bersama. Ikhlas antara syarat utama amal. Satu perkara lagi, kepada adik-adik banin dan banat, jangan diterima bulat-bulat khabar yang mendatang. Buka minda seluasnya. Kita ada akal dan berhak untuk mencari kebenaran. Jangan ditolak sesuatu selagi tidak pasti kecacatannya. Teruskan berfikir hingga anda ketemu jawapannya. Itu sahaja yang mahu ditegur. Andai kata ada yang terguris, sejuta kemaafan saya pohonkan. Tetapi jika itu yang perlu agar adik-adik terbuka pemikiran untuk melihat mana yang betul, mana yang salah, maka perbuatan saya adalah betul, Menegur itu sesuatu yang perlu. QUDWAH benar-benar membuatkan saya berfikir dan terus berfikir. Tarbiyah Allah itu tidak boleh dipilih. Dari mana sahaja ia datang, maka terimalah dengan hati terbuka, insya Allah pencerahan minda akan berlaku dan di situ hikmahnya kan kau ketemu. Wallahu’alam.

HILANGNYA SERI TARBIYAH ITU

Liqo tazkirah asar petang itu agak suram.

Manalah jemaah yang lain ni. Gusar hati saya memikirkannya.

Soff solat fardhu tadi pun tidak mencapai angka sepuluh.

Barangkali ramai yang baru habis kelas agaknya. Maklumlah waktu pun sudah awal masuk sekarang ni. Ataupun ramai yang mengimarahkan surau petang ni.

Hati saya mengajak untuk husnu zhon seketika.

Majlis tazkirah diteruskan juga walaupun yang hadir ketika itu hanya lima orang jemaah sahaja. Biarpun angka yang sedikit ini telah mengajak kami untuk berbincang pelbagai topik yang menarik. Alhamdulillah. Terisi masa lapang di waktu petang ini dengan sedikit tarbiyah rohani.

*****

Resah hati saya semakin menjadi-jadi. Ruang solat ketika ini kelihatan suram berbanding petang tadi. Tiba-tiba hati saya dipukul rasa hiba. Biasanya waktu malam begini ramai yang akan hadir ke masjid, tapi tidak hari ini. Semakin hari masjid ini suram dan sepi. Rasa rindu pada suasana Ramadan membawa saya berfikir sejenak.

Hilangnya tarbiyah Ramadan..

Ramadan baru beberapa bulan pergi tinggalkan kita. Tapi mengapa tarbiyah Ramadan ini tidak meresap dalam jiwa kita. Bukan salah kemulian bulan Ramadan ini, tapi kealpaan diri kita sendiri.

Mari kita lihat…

Di ambang Ramadan.. Solat berjemaah. Jika kita lihat sepanjang ramadan lalu masjid khususnya akan menerima kehadiran para jemaah yang cukup membanggakan. Namun hari ini ia sungguh mendukacitakan. Masjid yang besar dan tersergam indah kelihatan terlalu lenggang dan sepi. Sudah tiada kelihatan lagi kelompok insan yang beriktikaf sambil membaca al-Quran dan sebagainya. Maknanya kita telah gagal menghayati tarbiyah Ramadhan.

Bagaimana dengan masjid DQ?

Awalnya dahulu saya memerhatikan soff jemaah muslimat penuh hingga ke ruang belakang tangga. Hari demi hari bilangan ini bertambah. Alunan suara jemaah yang membaca al quran samada mencari modal dan iadah kelihatan saling berlawan antara satu sama lain. Hingga saya pernah tidak mendapat ruang yang selesa untuk turut mengaji. Saat itu saya tersenyum gembira, tarbiyah ini berkesan..

Namun adakah kesannya sepanjang Ramadan sahaja? Kenapa kita alpa pada bulan-bulan yang lain? Adakah kita hanya semata-mata ingin merebut fadilat-fadilat dan kelebihan pada bulan itu sahaja?

Hati saya semakin gusar.. Adakah fonomena ini bakal beterusan?

Liqo tazkirah.. Puasa sunat..

Mathurat.. Qiamulail…

Akan turut ditinggalkan juga kah? Hati saya semakin bimbang.

Andai ia beterusan, bagaimana generasi akan datang?

Masihkah sempat merasai kenikmatan tarbiyah di bumi barakah yang semakin hari hilangnya seri barakahnnya itu..

Persoalannya.. Sejauh mana berkesannya tarbiyah Ramadan pada kita.?

Selamat bermuhasabah diri..

Wallahualam..

PENAWAR CINTA LUKA


USTAZ NAJHAN : Penawar Bagi Hati

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيمِ

Langit juga tidak selalu cerah, matahari kadang kala tiada bercahaya dan gerhana, bulan ada ketikanya tidak mengambang penuh, alam juga sekali sekala dipandang kabur sahaja. Begitulah hati manusia. Ada kalanya ianya resah dan gelisah. Gundah dan gulana. Nabi kita sendiri pernah mengalami kesedihan yang amat sangat bila mana kematian orang yang sangat di kasihinya, iaitu orang yang menjaganya di dalam dan diluar rumah.

Isteri tercinta Khadijah r.a.ha. dan bapa saudaranya Abu Talib yang sentiasa melindunginya berdakwah di luar rumah. Waktu pengikut tidak ramai dan mendapat tentangan, nabi di boikot, mereka inilah yang banyak membantu nabi. Bayangkan nabi menanggung kesedihan yang teramat dalam tahun tersebut.

Apatah lagi kita sebagai makhluk yang diciptakan Allah yang pastinya ada perasaan sedih. Binatang sekalipun tidak lalu makan bila bergaduh dengan pasangannya seperti memerang. Tak ada mood nak makan. Jadi persoalan yang dilontarkan tadi, apakah hati manusia boleh dirawat?. Kalau boleh bagaimana caranya.

Tidak diragukan hanya Islam sahaja yang membawa kaedah untuk merawat hati manusia. Hanya dengan agama yang dimuliakan Allah ini sahaja. Hanya dengan mengingati Allah hati jadi tenang dan tenteram. Masalah jiwa, hati yang keluh kesah, kembali kepada Allah. Tiada satu perubatan yang boleh selesai masalah jiwa manusia. Di hatilah tersimpannya perkara-perkara asas yang penting seperti jantung, roh, nafsu dan akal.

“Orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikir kepada Allah. Ketahuilah! Dengan zikir kepada Allah itu, tenang tenteramlah hati manusia”.
(Surah Al-Ra‘ad: 28)


Pengajaran yang dapat di petik dari peristiwa israk dan mikraj di mana Allah memperjalankan nabi s.a.w. untuk mempersaksikan kepada nabi kebenaran al-Quran tentang janji Allah syurga dan neraka dan hari pembalasan nanti. Ianya merupakan satu hiburan pada Nabi yang sedang mengalami saat kesedihan. Apalagi yang lebih istimewa selain bertemu dengan Allah. Bila mengingati Allah pun hati sudah merasa tenteram.

Zikir adalah menyebabkan Allah s.w.t. ingat kepada seseorang yang ingat kepadanya seperti mana disebutkan di dalam Al-Quran:
FAZKURUUNII AZKURKUM ertinya "Kerana itu ingatlah kamu kepadaKu, nescaya Aku ingat pula kepadamu."

Dan diterangkan pula di dalam hadis: MAN ZAKARANII FII NAFSIHII ZAKARTUHUU FII NAFSII ertinya, "Barangsiapa mengingati Aku di dalam hatinya, nescaya Aku mengingatinya pula di dalam hatiKu."

Dalam sebuah hadith qudsi:
“Aku (Allah) bersamanya (hamba-Ku) apabila dia berzikir kepada-Ku. Maka jika ia mengingati aku di dalam hatinya, nescaya Aku ingat pula kepadanya dalam diri-Ku.”
(Bukhari)

Orang yang beriman tenteram hati mereka bila berzikir/mengingati pada Allah. Memang benar, bila kita mengingati Allah, Allah akan mengingati kita. Bila kita lupa pada Allah maka Allah akan tinggalkan kita. Seorang ulama berkata kepada muridnya bahawa dia tahu bila Allah ingat padanya dan bila masa Allah tidak ingat padanya. Muridnya kepelikkan, hebatnya tuan gurunya. Lalu dia bertanya, bagaimana. Gurunya mengatakan senang sahaja.., katanya bukankah ayat Allah ada menyebut bahawa bila seseorang itu ingat Allah, Allah akan mengingati dia.

Tidak disangkal lagi, pastinya tiada masalah bila kita ada masalah kita kembali kepada Allah. Biarpun sahabat, kawan, keluarga, boss, tidak mahu mendengar masalah kita. Adukan masalah kita kepada Allah yang sentiasa sedia mendengar. Allah paling hebat memperdengarkan masalah hamba-hambanya. Apa yang lebih penting lagi selain Allah yang cukup tahu masalah kita. Maka kita tidak patut resah, kerana Allah sahaja yang boleh memberi penyelesaian tentang masalah kita.

Statistik yang disebut oleh Menteri Kesihatan di dada akhbar mengatakan masalah orang yang sakit jiwa di Malaysia membimbangkan, tidak lain hari ini berpunca kegagalan mendidik , membentuk dan membangun fizikal manusia sahaja. Ramai hari ini mencari ilmu untuk mengejar sijil, pangkat. Sedangkan solat, akhlak tidak dijadikan asas utama didikan. Tekanan yang diberi oleh ibubapa yang ingin anak skor A, pastinya membuat anak-anak sakit jiwa bila tidak dapat memperolehinya. Terlalu sangat mengejar pandangan manusia dari segi kedudukan, pangkat, sedangkan zohor, asar tidak solat sangat medukacitakan. Bila memandang apa kata orang, dan apa pandangan orang selamanya jiwa tidak akan tenang.

Bila kita lupa Allah, itu yang menyebabkan Allah meninggalkan kita dari rahmatnya. Orang beriman akan mencari Allah sebagai penyelesai masalah. Al-quran sendiri dijamin oleh Allah sebagai penawar dan penyembuh penyakit. Sesungguhnya sebaik-baik zikir ialah al-Quran.

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاء وَرَحْمَةٌ لِّلْمُؤْمِنِينَ

Dan Kami turunkan dari Al Qur'an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman.
Surah israa' :82

Bila terlalu banyak dosa yang dibuat Allah tebus dengan dukacita. Pengubatnya taubat. Jika dosa dengan Allah bertaubatlah segera. Bila berdosa dengan manusia, maka minta maaf dan jumpa mereka. Jika tidak hati tidak akan tenang dan tenteram hingga ke saat kematian. Terus menerus akan dalam kedukacitaan. Walau diluar nampak segak dan gelak, azab duka cita di hati pastinya membakar jiwa. Itulah dosa yang dibuat pada anak adam yang memakan dalaman. Azabnya didunia sudah dirasakan.

Sayugialah kita semua kembali kepada Allah dengan sebenar-benar ketaqwaan. Allahu a’lam.

Sumber: Usrah Jemaah Anak Muda

PERKEMAT DQ MEMBANTAH KONSERT ADAM LAMBERT


KUALA KUBU BHARU, 12 Okt: Persatuan Kebajikan Pelajar Maahad Tahfiz Darul Quran (PERKEMAT DQ) membantah sekeras-kerasnya penganjuran konsert artis antarabangsa kontroversi, Adam Lambert. Konsert itu dijadualkan berlangsung pada 14 Oktober bertempat di Stadium Putra Bukit Jalil.

Menurut jurucakap PERKEMAT DQ merangkap Yang Dipertua, Muhammad Fakhrur Ridzwan Bin Othman, konset itu tidak wajar diadakan di sebuah negara umat Islam yang dijadikan contoh oleh negara luar. Menurut beliau, konsert ini tidak membantu negara melahirkan lebih ramai modal insan seperti yang dicita-citakan pihak kerajaan.

“Pihak kerajaan sepatutnya mengambil kira nilai sensitiviti umat Islam di negara ini. Agak menghairankan apabila kerajaan Malaysia meluluskan kemasukan penyanyi luar yang tidak bermoral seperti ini sedangkan pihak kerajaan dalam satu kenyataan melalui Timbalan Perdana Menteri pernah menyatakan bahawa kerajaan di bawah kepemimpinan Perdana Menteri merupakan kerajaan modal insan.”

“Persoalannya, adakah dengan meluluskan kemasukan penyanyi barat seperti Adam Lambert ini menunjukkan seriusnya kerajaan dalam melahirkan modal insan di negara ini? Dengan lulusnya konsert tersebut, negara bakal berdepan krisis gejala sosial yang semakin meruncing kerana para remaja dan belia di negara ini akan menjadikan penyanyi ini sebagai ikon untuk dicontohi”, ujar beliau.

Sementara itu, menurut Naib Yang Dipertua, Nur Afifah ketika ditanya memberitahu, sesebuah kerajaan sepatutnya berperanan sebagai pelindung rakyat. Bukan sekadar melindungi keselamatan fizikal bahkan kerajaan sepatutnya mengambil jalan memelihara kesihatan mental dan rohani masyarakat.

“Konsert ini jika dilihat hanya menyokong budaya hedonisme untuk terus subur di bumi Malaysia. Malaysia bakal berdepan krisis untuk melahirkan pemimpin pelapis negara jika budaya ini terus disuburkan dan tidak mengambil usaha untuk mencegahnya dari peringkat akar umbi.”

Adam Lambert dikenali sebagai seorang artis kontroversi dengan pengakuannya sebagai seorang homoseks. Di samping itu, persembahan yang pernah dilakukannya juga dilihat sebagai melanggar nilai etika dan adat ketimuran di negara ini. Penganjuran konsert ini mendapat bantahan daripada banyak pihak termasuk golongan mahasiswa.


Sumber: PERKEMAT DQ

TANGGALKAN PAKAIAN SYADID!


“Ana nak semua peserta kali ini terutama yang banat, sila tanggalkan pakaian syadid.”

Lantang suara EO dalam meeting kali ini.

“Apa yang tak kenanya ni?” “Dah tu nak pakai apa pulak?” “Bla..bla..bla…???”

Pelbagai persoalan yang timbul dalam soff coordinator banat ketika itu. Berkerut dahi mendangar arahan yang masih kurang jelas penjelasannya.

‘Kita nak berdakwah kena ikut waqie sesuatu tempat. Jangan bawa ‘syadid’ di DQ datang sini. Sila tinggalkan. Ini bukan DQ tapi kawasan Felda. Kena faham sosio budaya kawasan ini…bla..bla..bla…”

“Kalau perlu pakai baju kurung pun itu yang terbaik. Dan jangan terkejut kalau yang banat ni perlu pakai tudung berselimpang zaman sekarang.”

“Tolong tanggalkan pakaian syadid!’ Nadanya kali ini lebih keras berbanding tadi.

Kelihatan banat yang lainnya tunduk membisu. Mungkin tidak tahu untuk membidas hujah-hujah yang dikeluarkan EO sebentar tadi dan mungkin rasa malu yang menyelubungi diri.

Inilah pengalaman baru bagi sesiapa yang pertama kali terjun dalam dunia dakwah ini. Sebelum ini lebih kepada latihan teori dalam kuliah-kuliah dan juga mana-mana tamrin. Namun, kali ini beberapa orang pelajar DQ yang sekaligus menjadi peserta BAKTI HUFFAZ telah menyahut panggilan dakwah ini.

Menyumbang bakti serta mengaplikasi dan menterjemahkan Al Quran kepada masyarakat felda yang memunyai fikrah dan sosio budaya tersendiri adalah suatu perkara yang mencabar. Berbeza dengan masyarakat kampung yang lain.

****

Ya, saya setuju dengan pandangan EO tadi. Namun pada hemat saya, perkara ini perlu diberi perhatian bagi peserta yang baru bertatih dalam dunia berdakwah, seperti saya. Arahan yang dikeluarkan perlu juga melihat kepada para daei. Mereka juga adalah mad’u.

Menagapa saya berkata sedemikian?

Banat misalnya, mereka telah diajar untuk berpakaian mengikut busana syariah seperti berjubah dan bertudung labuh kemana sahaja mereka tuju. Berpakaian selain jubah adalah suatu perkara yang menjanggalkan. Meskipun berbaju kurung dalam kawasan kampus. Lalu, isu ini pula pernah dimainkan dalam usaha PERKEMAT memperkasakan biah solehah. Yang mana sesetengah pihak pernah menyuarakan untuk berbaju kurung dalam kawasan kampus tetapi telah ditolak oleh mereka yang mempertahankan biah solehah.

Persoalannya, adakah berbaju kurung mencacatkan biah siolehah yang sedia ada?

Berbalik kepada masalah sebentar tadi, apabila banat disuruh untuk berbaju kurung, berjubah seluar dan sebagainya sebagai metod untuk mendekati mad’u seperti masyarakat felda, bagi saya ia suatu perkara yang biasa. Namun, bagaimana pula bagi mereka yang syadid mengenai pakaian.

Apakah mereka jumud?

“Ana tak faham lah, takkan lah sebab ana pakai baju kurung pergi program tu dia boleh jadi tak bertegur dengan ana.” Luahan seorag sahabat saya.

“Tak de lah. Patutnya kita kena kekalkan imej kita sebagai seorang hafizah. Kenapa pulak nak berbaju kurung? Pakai jubah bukan jadi masalah pun.” Jawab seorang lagi sahabat saya membidas persoalan sebentar tadi..

Ini merupakan pandangan syadid sesetengah pihak. Isu pakaian sudah lama dimainkan masyarakat kampus seperti DQ. Berbeza dangan kampus-kampus yang lain.

*****

“Untuk persiapan tempat tadi ada sedikit masalah”

“Disebabkan padang futsal terletak bertentangan dengan kawasan pentas, dan ramai banin sekitar itu menjadikan pergerakan banat sedikit terbatas dan pentas agak lewat dapat dihias ”

Seorang coordinator muslimat memberi sedikit laporan dalam meeting postmoterm.

“Pasai pa pulak terbatas?”

“Kalau banin tak da kat situ, yang ada semua penduduk kampung lelaki, terbatas tak?” Tanya seorang muslimin.

“Sekali lagi ana ulang, sila kerja secara professional, tanggalkan pakaian syadid.”

Suasana meeting yang sebentar tadi agak suram menjadi sedikit tegang. Sekali lagi kelihatan banat tertunduk membisu.


Apakah ini beerti banat perlu menaggalkan pakaian syadid sekali dengan pakaian malunya itu?

Pada hemat saya, ia satu fitrah. Malu berhadapan dengan ajnabi adalah dituntut. Apatah lagi berhadapan dengan muslimin yang dikenalinya. Melakukan kerja-kerja seperti menyapu yang agak membongkokkan badan, berdiri di atas kerusi untuk menggantung atau menampal sesuatu di dinding dan sebagainya yang memerlukan beberapa anggota fizikal bergerak adalah perkara yang sukar dilakukan dihadapan muslimin. Apatah lagi muslimin yang berkerja dengannya.

“Malu biar bertempat ustazah.. professional sikit..”

Tidak cukup professional kah muslimat hari ini? Dalam keprofesionalan mereka dalam melakukan gerak kerja islam tidak akan lari dari sifat malu. Sekalipun siapa jua mereka. Jika diikutkan syadidnya muslimat, saya beranggapan sudah pasti tiada aktivis dakwah muslimat yang akan membantu muslimin dalam urusan gerak kerja Islam. Membantu dalam menyediakan makanan, membancuh air dan memasak untuk mana-mana program (mcm bakti huffaz,.mujur banin bantu sekali bakar lemang ^_^ ) dan sebagainya. Ini reality. Namun, tidak dinafikan ‘profesional’ ini juga harus diselitkan rasa malu. Bimbang pula pergaulan menjadi tidak terbatas dan terlampau. Harus ada sempadannya.

****

Setiap orang memiliki pandangan dan pendapat yang berbeza. Muslimat lebih mengenali muslimat dan muslimin juga lebih mengenali kuam sejenisnya.

Jalan terbaik dalam terjun ke dunia dakwah ini harus disediakan bekalan secukupnya. Agar aktivis hari ini tidak terkapai-kapai dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat. Pendekatan terbaik perlu diambil kira dalam memenangi hati mad’u. Jangan sampai mad’u lari dari daei.

Justeru, saya menyarankan agar satu taklimat khusus harus didedahkan kepada para daei yang baru bertatih dalam dunia dakwah ini terutama aktivis muda dalam menyertai program-program khidmat masyarakat yang telah diatur perjalan programnnya. Tidak cukup teori-teori dikuliah sahaja untuk bekalan mereka, tapi pengalaman dan ibrah yang bermanfaat harus dikongsikan bersama. Ini perlu agar para daei tidak menjadi shock dengan sesuatu tempat yang baru. Lama-kelamaan perkara ini akan menjadi kebiasaan kepada daei pada mana-mana situasi sekalipun.

Matlamat yang baik mesti mempunyai pendekatan yang baik. Ini akan menjamin kebenaran itu difahami dihayati dan dilaksanakan oleh golongan sasar. Pendekatan dakwah perlu dilakukan dengan cara menyentuh hati. Ia mesti up-to-date, kreatif dan kotemporari.

Rasulullah SAW bersabda:

“Berckaplah mengikut kadar akal manusia yang kamu hadapi.” –Riwayat Al Dailami-

“Permudahkan, jangan kamu menyusahkan.” –Riwayat Muslim-

Belajar dari kesilapan. Ini satu ilmu yang bermanfaat.

Utamakan niat kerana Allah, Insya Allah akan dipermudahkan.

"Ya Allah..janganlah hijab kami menjadi fitnah ke atas kami."



*sekadar pandangan dari saya, muslimah muda yang baru mengenali alam dakwah. Mohon maaf atas kekurangan dan dialukan sebarang komentar.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...