✿♥ inni Faqiran ila Allah ♥✿

"thabbit Qulubana, Ya Rabb!"

UJIAN ADALAH TARBIYAH

“ Apa yang akak letak belakang saya tu?” Dia bertanya.
“ Ni ultra sound dik, untuk hilangkan rasa sakit awak.” Seorang kakak dari unit fisioterapi memberi sedikit penerangan.

Kemudian satu mesin yang dipenuhi dengan wayar diletakkan di bahagian belakangnya. Sebaik suiz dihidupkan terasa seluruh urat-uratnya ditarik-tarik dan diikuti pula rasa suam yang semakin tinggi suhunya. Dia dibiarkan selama 20 minit di dalam bilik tersebut.

Dia tidak pernah menyangka alat-alat yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini menjadi sebahagian daripada hidupnya. Alat bantuan ini adalah untuk membaik pulih tulang dan sarafnya akibat daripada kesan jatuh beberapa tahun yang lepas. Pada minggu yang berikutnya, pemeriksaan yang sama akan dilakukan ke atas dirinya. Inilah tarbiyah dari Allah, diujinya melalui sakit-sakit yang agak membimbangkan. “Ya Allah, Kau sahaja yang mengetahui segala apa yang berlaku.” Dia berdoa pada yang Esa.

Sebaik pulang dari hospital, dia menggagahkan kakinya untuk melangkah ke kelas. Kesan daripada alat mesin tadi membuatkan dia kurang kudrat untuk berjalan dan duduk. Rasa ingin direbahkan saja badannya di atas katil. Akhirnya dia menitiskan air mata menahan kesakitan yang ditanggungnya itu.

BIAR FIZIKAL SAKIT, JIWA TETAP KUAT

“ Akak doakan ana, rasa nak demam dua tiga hari ni. Tapi akak lagi hebat ujiannya dari ana. Minggu ni pulak ada tiga exam berlainan madah. Ya Allah berilah aku kekuatan.” Masej keluhan dari seorang adik diterimanya.

“Esok akak pun ada exam, lusa pun ada exam jugak. Biar fizikal sakit, jiwa kuat k. I’adah quran elok-elok.” Dia membalas masej yang diterimanya tadi.

“Masya-Allah…kata-kata akak buat ana bertambah semangat. Terima kasih kak. Akak memang seorang yang kuat.”

“Haza min fadli Rabbi..” jawabnya ringkas.

Namun, hanya Allah sahaja yang mengetahui kekuatan dan kemampuan dirinya. Bukanlah semudah yang dilafazkan. Amanah yang dipikulnya lebih besar dari sakit yang dialaminya. Rasa sakit itu dibuangnya jauh-jauh untuk kembali kuat daripada sebelumnya. Agar terlaksana seluruh taklifat yang diamanahkan ke atas dirinya.

Potongan ayat terakhir dari surah al Baqarah diamatinya penuh kesungguhan. Allah berfirman:

Allah tidak memberati seseorang melainkan apa Yang terdaya olehnya. ia mendapat pahala kebaikan Yang diusahakannya, dan ia juga menanggung dosa kejahatan Yang diusahakannya. (Mereka berdoa Dengan berkata): "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir".

Maka, tiada apa yang perlu dibimbanginya kerana Allah telah berjanji dalam firmannya. Dan dia sangat yakin bahawa segala apa yang ddilaluinya adalah mengikut kemampuan yang telah Allah tetapkan kepadanya. Masakan Allah sengaja mahu mengujinya sedangkan dia tidak mampu memikulnya. Subhanaalah percaturan Allah sangat hebat.

Kerdil rasa dirinya taktala dia mengingat kembali sejarah-sejarah perjuangan tokoh-tokoh Islam yang terdahulu daripadanya. Al Fateh, Salahuddin Al Ayubi, Umar Abd Aziz, zaman khulafa rasyidin dan seterusnya sirah junjungan besar Muhammad SAW. “ Mereka lebih hebat diuji oleh Allah berbanding aku. Mereka hebat disisi Allah, sedangkan bagaimana pula aku.” Dia bermanolog sendirian.

BELAJAR DARI SIRAH

Sirah inilah yang menjadi ibrah pada diri kita. Lantaran ujian yang melanda adalah sangat kecil yang diumpamakan ibarat setitis air di lautan berbanding tarbiyah yang dilalui oleh pejuang-pejuang Islam yang lain.

Apa yang telah aku sumbang pada Islam?
Apa yang telah aku korbankan untuk Islam?
Apa yang telah aku lakukan untuk agamaku?

Ajukan persoalan ini pada diri kita. Apakah kita telah pun laksanakan sealanya dengan sempurna? Dimanakah kita berada taktala sahabat-sahabat dan saudara-saudara kita di Palestin sedang berlemuran darah menentang musuh-musuh Allah. Tetapi kita? Duduk dan melihat sahaja. Lalu, taktala diuji, barulah kita kembali kepada mengingati Allah. Menginsafi segalanya.

Sirah perjuangan nabi dan sahabat-sahabat baginda terlalu banyak untuk kita jadikan ibrah. Kenang kembali di saat berlakunya peperangan Badar, Uhud dan Khandak. Bagaimana jerih perih baginda dalam menegakkan Islam dan menyebarkan dakwahnya kepada umat ketika itu. Lalu, nisbahkan pula ujiannya kepada diri kita. Berapa banyak gandaan yang boleh kita hitung berbanding di zaman nabi suatu ketika dahulu.

Ayuh pejuang, jangan kerana ujian yang sedikit kita berputus asa, lemah dan kecewa. Mari kita hayati firman Allah dalam surah Al Imran ayat 139:

Dan janganlah kamu merasa lemah (dalam perjuangan mempertahan dan menegakkan Islam), dan janganlah kamu berdukacita (terhadap apa Yang akan menimpa kamu), padahal kamulah orang-orang Yang tertinggi (mengatasi musuh Dengan mencapai kemenangan) jika kamu orang-orang Yang (sungguh-sungguh) beriman.


Saya akhiri entri saya kali ini dengan kata-kata dari Dr. Aidh Abdullah al Qarni dalam bukunya La Tahzan yang menyebut:

“ Jangan bersusah hati sebab ia hanya akan membuatmu lemah dalam beribadah, malas untuk berjihad dan mengheretmu untuk berburuk sangka. Jangan berdukacita, sebab rasa sedih dan susah hati ialah akar kepada pelbagai penyakit jiwa, punca penyakit saraf, penghancur jiwa dan penyebar keraguan serta kebingungan.”

KUAT WAHAI JUNDULLAH



JANGAN JASAD YANG SAKIT
MENYAKITI JIWA YANG SIHAT
KUAT WAHAI JUNDULLAH…

JANGAN FIZIKAL YANG LEMAH
MENCEMARKAN ROHANI YANG KUAT
KUAT WAHAI JUNDULLAH…

JANGAN EMOSI YANG TERGANGGU
MENGGANGGU GUGAT IMANMU
MENGGANGGU GUGAT TAQWAMU
MANGGANGGU GUGAT TAWADHU’MU
KUAT WAHAI JUNDULLAH..

KAU MASIH ADA ALLAH
KAU MASIH ADA PANDUAN
KAU MASIH ADA TEMAN
KUAT WAHAI JUNDULLAH..

KUAT WAHAI JUNDULLAH
KERANA ALLAH DAN ISLAM
SERTA PERJUANGAN YANG KAU GENGGAM
KUAT WAHAI JUNDULLAH…

JANGAN LEMAH
JANGAN SEDIH
JANGAN KECEWA
JANGAN PUTUS ASA
KAU KUAT WAHAI JUNDULLAH…

KAULAH PEMEGANG KALAMULLAH
KAULAH YANG DIPILIH ALLAH
KAU KUAT WAHAI JUNDULLAH…

ALLAH SENTIASA BERSAMAMU..
WAHAI TENTERA ALLAH..

CORETAN RASA,
JUNDULLAH..16/8/2010

MELAHIRKAN JUNDI YANG TAKUT

“Assalamualiakum kak. Boleh ana nak minta tolong sikit??”

“Tolong apa dik?”

“Tolong sampaikan laporan kewangan ni pada kak bendahari, kak Sofia”

“Lar napa tak bagi sendiri”

“Ish tak nak la kak. Takut ana”

Inilah antara dialog yang sering didengari taktala anak buah ataupun ahli kepada sesuatu pimpinan mulai rasa takut pada pemimpin sendiri.

Saya berfikir sejenak. Inikah golongan jundi yang telah dilahirkan dalam keadaan ketakutan? Dimanakah kualitinya?

“Tadi saya duduk sebelah exco Badar..ishh gerun saya..”

“Biar betul akak pimpinan datang bilik kau?” hahaha

Semakin hari dialog ini semakin panas dalam kalangan ahli. Mereka takut pada sesetengah pimpinan kerana jawatan dan taklifat yang disandang oleh pimpinan tersebut. Takut kepada arahan itu dan ini yang tidak dapat dilaksanakan sebaiknya. Meskipun mereka dapat menjalankan pelbagai arahan yang disuruh, namun ia bukanlah atas rasa tangugngjawab individu tersebut tetapi rasa takut yang mencengkam jiwa.

“Adik-adik ni takut nak masuk bilik kita” tegur seorang sahabat saya.

“Baguslah, biar diorang rasa takut sikit.” Jawab seorang sahabat lagi dengan selamba.

“Biarkan diorang rasa takut?” Saya berbisik di dalam hati. Apakah hasil yang diperolehi andai ahli rasa gerun terhadap pimpinan. Bukannya gerun kerna rasa hormat tetapi sebaliknya . Jiwa mereka penuh ketakutan. Yang sepatutnya dipupuk bagi jiwa seorang jundi adalah rasa hormat dan thiqah yang tinggi kepada pimpinan. Namun berbeza daripada apa yang saya perhati. Adik-adik semakin takut untuk bertegur sapa dan secara tidak langsung ia telah mencipta ‘gap’ antara pimpinan dan ahli. Lalu lahirlah jundi-jundi yang wala’ membabi buta kerana tidak faham akan sesuatu arahan dan bertindak atas dasar ketakutan. Kemudian disertai pula umpatan dan kata mengata di belakang. Inilah realiti.

Adakala kita perlu merendahkan diri, duduk bersama ahli bila mana kita berada di atas. Agar kita tahu bagaimana rasanya sewaktu duduk di bawah. Malangnya, ramai pemimpin sekarang hanya syok sendiri dengan jawatan yang ada. Lalu menggunakan jawatan tersebut untuk mengaut keuntungan tertentu. Wahai pemimpin, ayuh muhasabah diri kalian.

Teringat saya kata-kata seorang ulama yang mahsyur.

"Qiyadah tak boleh tutup pintu muhasabah. Ahli wajib awasi pimpinan supaya mereka lurus. Ahli lalai muhasabah pimpinan adalah dosa kerana abai suruhan Allah. Qiyadah perlu suruh ahli muhasabah mereka, dan tidak boleh pisahkan hal peribadi dan tanzim. Masalah peribadi pimpinan adalah masalah jamaah. Qiyadah mesti muhasabah kepada Qa'id dan sesama sendiri"
–As sheikh Siad Hawwa-


JANGAN TAKUT UNTUK MUHASABAH

“Ana nak tanya semua exco, siapa yang berani untuk buat dialog dengan ahli? Sila angkat tangan.”

Kelihatan sebahagian ahli syura ketika itu mengangkat tangan tanda bersetuju.

“Ini muhasabah untuk kita juga, untuk apa kita takut?”

Seorang daripada pimpinan muslimin bersuara dengan lantang tanda sangat bersetuju. Dan selebihnya hanya mengangguk-anggukkan kepala sahaja.

Ya. Saya sangat bersetuju. Pemimpin sewajibnya memuhasabah diri agar kita tahu di mana kesilapan kita. Dan dapat pula untuk kita perbaiki kelemahan pada tampuk pimpinan tersebut.

Teringat saya pada sebuah buku yang berbentuk haraki yang ditulis oleh seorang ahli gerakan yang mahsyur dalam Ikhwanul Muslimin suatu ketika dahulu iaitu, Mustafa Masyur. Pada bukunya yang betajuk “Jalan Dakwah Antara Qiyadah dan Jundiyyah.”

Beberapa point yang telah digariskan oleh beliau berkaitan akhlak dan sifat-sifat yan mesti ada bagi pemimpin dan orang yang brtanggungjawab. Antaranya:

1. Pemimpin mestilah orang yang mengharapkabn akhirat, ikhlas kepada Allah, mempunyai hati-hati yang sejahtera dan sunyi dari penyakit-penyakit hati yang meruntuhkan amalan
2. Mempunyai aqal yang waras, kebijaksannaan dan pengalaman
3. Mesti bersifat dan berakhlak lemah lembut , belas kasihan dan mudah berurusan.
4. Berani dan bermaruah dan tidak penakut membuta tuli
5. Tawadhu dan tidak tnggi diri kepada orang lain
6. Memberi maaf dan dapat menahan kemarahan
7. Menunaikan janji dan perjanjian
8. Jauhkan dari mengungkit dan bercakap tentang diri sendiri
9. Mengawas perkara daripada perkara yang diharamkan oleh Allah
10. Lapang dada serta tidak mendengar cacian dan umpatan
11. Pertengahan dan seimbang dalam semua urusan
12. Teguh bersama kebenaran tanpa berganjak
13. Menjauhkan diri daripada sikap tidak yakin dan terlampau yakin

Maka, marilah kita ‘check & balance’ diri kita, adakah kita tergolong dalam ciri-ciri yang disebutkan tadi sebagai yang bergelar seorang pemimpin atau qiyadi. Jika tidak, ayuh kita perbaiki diri dan pertingkatkan prestasi. Mudah sahaja contoh ikon yang perlu dijadikan role model untuk kita iaitu Muhammad SAW. Peribadi dan kepimpinan yang terdapat dalam diri baginda terlalu banyak untuk kita jadikan panduan dalam mencari keredhaan Allah. Inilah jalan dakwah yang kita pilih, moga kita terus thabat dalam perjuangan ini.

Siiru ala barakatillah..

HAK KEPADA KEDUA IBU BAPA



Alhamdulillah saya selamat sampai di Melaka pada pagi Selasa setelah tiga hari bermusafir di Terengganu. Badan yang keletihan sepanjang perjalanan selama beberapa jam di dalam bas tidak sempat lagi untuk direhatkan. Sebaik tiba di rumah, lantas saya terus tunaikan solat fardhu Subuh dan diikiuti bacaan mathurat yang telah menjadi runti harian. Usai saja berdoa, saya terus ke dapur untuk meringankan kerja emak yang dari tadi asyik menyiapkan sarapan pagi untuk kami.

“Uda, mari duk sini. Ada rancangan agama kat tv 9 ni.”

Lembut suara emak memanggil nama saya. Segera saya datang kepadanya. Ohh rancangan “Tanyalah Ustaz” di tv 9 rupanya. Tertarik saya pada tajuk yang dibincangkan pada pagi itu, “ TAAT KEPADA IBU BAPA”. Patut beria benar emak memanggil saya. Sudah pasti ilmu yang disampaikan cukup penuh manfaatnya. Saya duduk di atas sofa dan terus mengambil alat kawalan jauh televisyen jenama Panasonic. Butang volume terus saya tekan untuk menambah ketinggian suara televisyen tersebut.

Ustaz Badli Shah. Tidak asing lagi nama ustaz ini yang cukup menarik perbahasan ilmu yang disampaikannya. Raut wajahnya pula saling tidak tumpah seperti ustaz di sekolah lama saya, Ustaz Jamil. Rupanya mereka berdua kawan rapat semasa di zaman belajar dahulu. Kali ini ustaz Badli membahas kitab Tanbihul Ghafilin (Peringatan bagi yang lupa) karangan Abul-Laits Assamarqandi berkaitan hak kepada ibu bapa. Perbahasan yang sungguh menarik, ringkas dan mudah difahami.

BEBERAPA HAK KEPADA IBU BAPA


Antara panduan yang digariskan oleh Abul-Laits Assamarqandi berkaitan taat kepada ibu bapa dan beliau membahagikan kepada 10 point utama:

1. Jika orang tua berhajat kepada makan harus diberi makan
2. Jika berhajat pada pakaian harus diberi pakaian. Rasulullah s.a.w. ketika menerangkan ayat yang berbunyi: "Wa sha hib huma fiddunnya ma'rufa. (Yang bermaksud): "Bantulah kedua orang tua didunia dengan baik, yakni supaya diberi makan jika lapar dan pakaian jika tidak berpakaian.
3. Jika berhajat bantuan harus dibantu
4. Menyambut panggilannya
5. Mentaati semua perintahnya asalakan tidak menyuruh berbuat maksiat dan ghibah (mengasari orang)
6. Jika berbicara kepada keduanya harus lunak, lemah lembut dan sopan
7. Tidak boleh memanggil nama gelaranya
8. Jika berjalan harus dibelakangnya
9. Suka untuk orang tuanya apa yang ia suka bagi dirinya sendiri, dan membenci bagi keduanya apa yang tidak suka bagi dirinya sendiri
10. Mendoakan keduanya supaya mendapat pengampunan Allah s.w.t. dan rahmatNya

Setiap isi yang disampaikan oleh Ustaz Bad disertai dengan syarah melalui Al quran, hadis-hadis dan juga beberapa kisah tauladan. Tersentuh hati saya mendengarnya. Tanpa disedari rupanya saya diapit antara emak dan ayah saya. Sempat saya berpaling kepada mereka, kelihatanya mereka saling mengaggukkan kepala tanda bersetuju. Sayu saya melihat keduanya. Pasti mereka menyimpan hasrat tinggi bagi mengharapkan untuk mendapat anak yang soleh hasil didikan mereka. Yang mana ia sudah tentu menjadi bekalan di akhirat kelak apabila nyawa terpisah dari jasad.

“Ya Allah jadikanlah aku dan seluruh adik beradikku anak yang soleh dan solehah.”

Sempat saya berdoa kepada Allah, mudah-mudahan kami adik beradik menjadi anak yang soleh, permata berharga buat kedua ibu bapa kami.

BAKTI KEPADA IBU BAPA YANG SUDAH TIADA?

Kemudian, seorang penontan bertanya kepada Ustaz Bad, bagaimana untuk berbakti kepada ibu bapa yang sudah tiada, yang sudah kembali bertemu Allah.

Sebelum sempat Ustaz Bad menjawab, saya terlebih dahulu menjawabnya di dalam hati Teringat saya pelajaran Pendidikan Syariah Islamiyah(PSI) di sekolah menengah dahulu ada membincangkan tajuk ini.

1. Berdoa memohon keampunan buat mereka
2. Menunaikan amanah yang ditinggalkan
3. Melangsaikan hutang piutang sekiranya ada
4. Menghubungkan silaturrahim dengan orang yang dicintainya
5. Memuliakan sahabatnya

Sebuah hadis riwayat Abu Dawud menyatakan: ``Seorang lelaki dari Bani Salamah datang bertanya Nabi s.a.w: Apakah masih ada jalan untuk aku berbakti kepada ibu bapaku yang telah meninggal dunia. Sabda Nabi: Engkau boleh berbakti kepada mereka dengan berdoa, memohon keampunan dosa, menunaikan amanah yang mereka tinggalkan, menghubungi sanak saudara dan memuliakan kawan-kawan rapatnya.

ABAH SAYA


Abah bersama kembarnya. abah berkopiah putih.

Alhamdulillah hari ini Allah masih memberi saya merasai nikmat kasih dan sayang daripada emak dan abah. Nikmat berusrah dan nikmat belaian dari keduanya. Sungguh kasih sayang dan pengorbanan mereka tidak mampu saya membalasnya. Teringat pula pada abah, insan yang tidak pernah merasai nikmat kasih sayang dari seorang ayah. Allahyarham datuk telah kembali ke rahmatullah sejak abah dalam kandungan lagi. Beliau karam di tengah lautan sehinggakan jasadnya tidak ditemui. Manakala nenek pula meninggal ketika abah baru 40 hari melihat dunia. Dikala itu abah masih tidak memahami erti dunia ini. Sudah pasti abah tidak sempat memanggil “ EMAK“ kepada nenek. Abah senasib dengan kembarnya, iaitu pakcik saya. Kemudian abah dan kembarnya dijaga oleh nenek saudaranya secara berasingan. Bagaimanalah abah disaat itu, disaat orang lain mempunyai emak dan ayah untuk bermanja, sedangkan abah tidak. Tapi hari ini, abah telah menjadi hero kepada kami sekeluarga. Saya sayang abah.

”Abah rindu tak nak panggil emak“ saya bertanya.

"Pastilah rindu“ jawab abah ringkas.

RENUNGAN

Konklusiya, selagi mana kita masih mempunyai kedua ibu bapa di dunia ini, hargai mereka sepenuhnya. Wajiblah ke atas kita memberi ketaatan kepada mereka selagi tidak melanggar syara’. Hormati dan jagalah hati keduanya. Mudah-mudahan kita menjadi anak yang soleh, impian kedua ibu bapa kita. Ingatlah, keredhaan Allah terletak di atas keredhaan kedua ibu bapa.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Zaid bin Ali dari ayahnya dari neneknya berkata Rasulullah s.a.w. bersabda:

"Andaikan ada kalimah yang lebih ringan dari kata UF (Cish) untuk dijadikan dasar serendah-rendahnya derhaka pada orang tua nescaya akan dilarang oleh Allah s.w.t. untuk mengatakannya, kerana itu seorang yang derhaka pada orang tuanya boleh berbuat apa yang diperbuat maka ia tidak akan masuk syurga, sebaliknya seorang yang bakti pada orang tuanya boleh berbuat apa saja maka tidak akan masuk neraka."

Jagalah tutur kata ketika bercakap dengan mereka. Jangan sesekali meninggikan suara kepada mereka. Eloklah ke atas anak itu bercakap dengan selembut-lembutnya di hadapan ibu dan bapa kita.

Saya berdoa, moga cuti kali ini saya dapat manfaatkan sebaiknya untuk berbakti kepada emak dan abah. Moga perjalanan cuti ini mendapat keredhaan Allah.

Saya tutup entri saya pada kali ini dengan meninggalkan 2 potong ayat suci AL Quran dari surah Al Isra ayat 23 dan 24 beserta kisah Al Qomah seorang pemuda yang taat kepada Allah. Hayati dan tadabbur ayat suci kalamullah dan juga kisah yang penuh tauladan ini.

Siiru ala barakatillah.

KAKI BERPIJAK DI BUMI TERENGGANU...


Allhamdulillah jam 3.00 pagi tadi kami selamat sampai di bumi Terengganu. Kaki Mengatur langkah bersama adik beradik seperjuangan menuju destinasi yang sudah lama kami rancang bersama. Mudah-mudahan ziarah ke rumah 'andak' sempena cuti semester ini membawa sedikit manfaat selain merapatkan hubungan kekeluargaan dengan familinya.

GEMBIRANYA HATI


Petang semalam sebelum menaiki bas sempat aku bersalam salaman dengan beberapa orang sahabat yang masih di DQ meneruskan perjuangan. Mula-mula nak naik bas ketika itu malunya saya tdak terhingga. Apa taknya, beberapa orang pimpinan exco(banin) yang tinggal di Terengganu tengok semacam kepada saya. Mungkin hairan mengapa orang Melaka pulang ke Terengganu. Tidak mengapalah saya teruskan juga perjuangan menaiki bas walaupun pada hakikatnya hanya Allah sahaja tahu betapa malunya saya. Maklumlah orang menumpang. hehe =)

Rasa macam exited pula naik bas untuk meneruskan perjalanan. Agak lama saya tidak bejalan jauh berada di dalam bas sekitar 8 jam. Sakitnya belakang saya makin menjadi-jadi. Apa taknya sedangkan duduk dalam meeting selama 3 jam pun saya sudah tidak tahan apatah lagi yang berjam-jam. Apapun saya seronok perjalanan yang penuh manfaat. Saya habiskan masa petang itu di dalam bas dengan berbincang bersama 'alang' berkaitan dngan beberapa masalah umat. Alhamdulillah kami temui penyelesainnya. Penat berbincang, masng-masing tertidur di dalam bas yang sangat dingin itu.

AIR MATA LAGI YANG TUMPAH


Malam itu selepas berhenti rehat dan makan malam di R&R saya berasa sangat sebak. Tumpah lagi air mata ini. Saya pohon kekuatan dari Allah moga dia memberi saya ketenangan. Akhirnya saya terlelap bersama tumpahan air mata yang masih membasahi pipi saya.

Pagi ini saya nak bersama-sama habiskan masa saya bersama ateh dan juga andak. Bukan mudah untuk saya luangkan cuti ke rumah sahabat yang lain. Kiranya mungkin ini kali yang pertama. Tergelak saya mendengar keluarga andak 'kecek' Terengganu. Dengan loghat negeri yang pekat bertambah ketidak fahaman saya. Mungkin kena belajar lagi loghat mereka. Atau mungkin saya kena jadi penduduk sini lah nampaknya. Alhamdulillah moga Allah merahmati pengembaraan kami ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...